Abdul Rahman Ayob Panglima TLDM ke-18

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, dilantik sebagai Panglima TLDM ke-18, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang akan bersara wajib.

Pelantikan Abdul Rahman disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan di sini.

Menurut kenyataan TLDM hari ini, pelantikan Abdul Rahman sebagai Panglima Tentera Laut menjadikan beliau sebagai pegawai submariner pertama memegang tampuk pemerintahan TLDM.

Sebelum ini, antara jawatan yang pernah dipegang sepanjang perkhidmatannya termasuk Komander Angkatan Kapal Selam, Timbalan Ketua Misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Filipina, Panglima Wilayah Laut 2, dan Panglima Armada Timur dan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 2019.

Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada tahun 1993 apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS PLATYPUS, Australia.

Laksamana Abdul Rahman seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada tahun 1995 dan di Perancis pada 1999 serta berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas AGOSTA pada tahun 2006 di Perancis.

Dalam bidang sukan, Laksamana Abdul Rahman aktif dalam sukan tenis dan golf. Beliau telah mewakili TLDM dalam Sukan Antara Perkhidmatan pada tahun 2022 dan pasukan tenis TLDM muncul juara pada kejohanan tersebut.

TLDM juga mengucapkan penghargaan kepada Laksamana Mohd Reza sepanjang perkhidmatan beliau selama 42 tahun, terutamanya ketika memegang jawatan Panglima Tentera Laut sejak 30 November 2018.

Mohd Reza telah meneruskan usaha memodenkan armada TLDM walaupun menempuh pelbagai cabaran, lebih-lebih lagi apabila negara terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Namun, Mohd Reza dan pihak pengurusan tertinggi TLDM dan ATM cekal mencari penyelesaian agar tahap kesiapsiagaan TLDM terus berada di tahap yang optimum dan berupaya untuk menggalas amanah mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment