Noh digantung 6 tahun mohon dipecat

KUALA LUMPUR 27 Jan. –  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dipecat atas permintaannya sendiri selepas Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penggantungan keahliannya selama enam tahun.

“Lebih baik pecat saya daripada digantung,” kata bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu, sebagai reaksi kepada pengumuman Ahmad Zahid.

Noh yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menyifatkan malam ini malam bersejarah bagi dirinya apabila pengumuman dibuat pada mesyuarat MT yang dipengerusikan Ahmad Zahid.

“Saya sangat kecewa dan terkejut apabila Presiden UMNO umumkan bahawa saya digantung enam tahun, sedangkan lembaga disiplin UMNO telah pun menghantar surat untuk saya hadir pada 30 Januari ini.

“Saya kata (pada Presiden) daripada gantung, pecat saja saya dari UMNO dan dia kata okey kalau itu tuan badan nak,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga memaklumkan bahawa ada beberapa lagi individu lain dalam UMNO yang diambil tindakan sama malah sehingga dipecat oleh parti tetapi enggan memaklumkan siapa yang termasuk dalam senarai tersebut.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mendakwa Noh meminta dipecat keahlian partinya ketika mesyuarat itu.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat Noh selepas Lembaga Disiplin UMNO memutuskan menggantung keahliannya selepas didakwa melanggar disiplin parti ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Noh sudah meminta untuk dipecat (keahlian) di mesyuarat MKT UMNO, malam ini, selepas Lembaga Disiplin UMNO meneliti dan membuat keputusan untuk menggantung keahlian beliau atas sebab perlanggaran disiplin mengikut Perlembagaan UMNO ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

“Sebelum ini beliau berkata, (memetik kenyataan Noh) ‘Saya bersedia untuk terima apa jua keputusan dibuat parti. Kalau hendak pecat, pecatlah, saya tidak kisah’,” katanya menerusi Facebook beliau, malam ini.

Related posts

Leave a Comment