KOTA KINABALU 26 Jan. – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan DAP serta PBS dilantik sebagai pembantu menteri yang baharu dalam Kabinet Sabah hari ini.
Mereka yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini, adalah ADUN Inanam, Peto Galim (PH-PKR) dan ADUN Likas, Tan Lee Fat (PH-DAP).
Seorang lagi ialah ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah – Parti Bersatu Sabah (GRS-PBS).
Ruslan dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, manakala Peto dan Lee Fat masing-masing dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan serta Pembantu Menteri Kewangan negeri.
Pelantikan itu dibuat berikutan pengguguran penyandang jawatan pembantu menteri sebelum ini iaitu ADUN Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal dan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu kenyataan berkata, rombakan portfolio bagi jawatan pembantu menteri sedia ada turut dilakukan.
Katanya, pembantu menteri ini adalah untuk mengisi jawatan yang dikosongkan bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib yang sekarang menjadi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
“Ia juga untuk mengisi jawatan dikosongkan Datuk Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan untuk memberi laluan kepada yang lain,” katanya.
Sementara itu, empat pembantu menteri sedia ada bertukar portfolio iaitu Datuk Seri Ruddy Awah (Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Harun Durabi (Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Fairuz Renddan (Pembantu Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Andi Suryady Bandy (Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian).
Ruddy dan Fairuz mewakili GRS, manakala Harun dan Andi Suryady mewakili UMNO Barisan Nasional (BN).
Harun dan Andi Suryady adalah antara empat ADUN UMNO BN memegang jawatan pembantu menteri yang sebelum ini menyertai Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Hajiji berkata, beliau menekankan kepentingan untuk kerajaan negeri pimpinannya berfungsi sebagai sebuah pasukan yang berkongsi aspirasi sama, yang dibina atas dasar saling mempercayai dan menghormati.
“Kita memerlukan pasukan yang kukuh untuk melaksanakan pembangunan dan menunaikan janji pilihan raya kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Hajiji sebelum ini berdepan cubaan menggugurkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri yang dibuat UMNO dan Parti Warisan tetapi gagal berikutan sokongan majoriti masih diterima Hajiji untuk memimpin kerajaan negeri termasuk daripada tujuh ADUN PH dan lima ADUN UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar.
Berikutan insiden itu, Hajiji melakukan rombakan Kabinet pada 9 Januari lalu dengan memasukkan dua ADUN PH, Datuk Christina Liew (Api-Api) sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Phoong Jin Zhe (Luyang) sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.
Selain itu, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yanya (UMNO) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya negeri menggantikan Bung Moktar dan Datuk James Ratib (Sugut) sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.
DARI kiri Tan Lee Fat, Peto Galim dan Ruslan Muharam mengangkat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu. (Foto Media dan Komunikasi, JKM Sabah)
