CAP mahu peruntukan GEG diluluskan

SEPANG 26 Jan. – Indonesia Kerajaan didesak meneruskan larangan penuh ke atas penjualan rokok elektronik dan vape kepada generasi penamat (GEG) melalui peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menegaskan demikian berkata, usaha itu penting bagi menyelamatkan 2.06 juta nyawa khususnya kanak-kanak dan remaja yang kini menjadi sasaran penjualan rokok elektronik dan vape.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow, berkata, pihaknya membantah cadangan supaya peruntukan GEG digugurkan sebagai alasan bagi membolehkan RUU Kawalan Tembakau diluluskan di Parlimen.

Semalam, sebuah badan pemikir mencadangkan supaya perkara berkaitan GEG dalam versi sedia ada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok diketepikan buat masa ini, bagi memastikan ia dapat diluluskan.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Khalib berkata, perkara berkenaan, yang dilihat mencetuskan perbalahan dalam kalangan Ahli Parlimen terdahulu, perlu ditangani pada masa lain.

Azrul dilaporkan berkata, terdapat keperluan mendesak bagi RUU itu diluluskan bagi mengawal pasaran dan penjualan rokok elektronik dan vape dengan menekankan kewujudan jurang yang besar dalam peraturan sedia ada mengenai produk berkenaan.

Bagaimanapun Subbarow dalam kenyataan hari ini menegaskan CAP tidak nampak asas yang kukuh mengapa peruntukan GEG mesti digugurkan, melainkan ada campur tangan industri dalam hal ini,

“Kerajaan sepatutnya sudah membuat larangan penuh berkaitan penjualan vape sejak kemasukan produk ini di pasaran Malaysia pada 2016 lagi.

Kami sudah mendesak penjualan rokok elektronik diharamkan terus sebagaimana negara jiran seperti Singapura , Brunei , Thailand dan Cambodia supaya ia tidak terus merosakkan anak bangsa kita,” katanya.

Subbarow berkata, negara kini berdepan isu penjualan dan pemasaran rokok elektronik dan vape yang menyerupai permainan kanak-kanak dengan kaedah pemasaran menyasarkan kanak-kanak dan golongan remaja.

“Malah mereka yang tidak merokok juga akan terpedaya untuk menggunakannya… tanpa peruntukan melarang penjualan sebarang bentuk produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape, perkara ini tidak dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.

Subbarow juga menjelaskan, pelaksanaan peruntukan GEG juga dipersetujui setiap ahli Parlimen yang mewakili parti politik masing-masing seperti mana termaktub melalui Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Kawalan Produk Tembakau 2022 yang disiarkan pada 5 Oktober lalu.

“Penyata itu secara jelas mengakui peruntukan GEG adalah sangat kritikal berikutan Malaysia mengalami masalah beban merokok berganda iaitu masalah merokok rokok tembakau dan juga masalah merokok alaf baharu iaitu rokok elektronik dan vape.

“Ia sudah dibincangkan sebelum ini dengan panjang lebar dan pihak CAP menegaskan peruntukan GEG ini mesti diteruskan,” katanya.

Kajian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan jika GEG tidak dilaksanakan, menjelang 2030, kos rawatan akan meningkat kepada RM 8.77 billion bagi merawat komplikasi penyakit akibat merokok tembakau dan RM369 juta bagi merawat kecederaan paru-paru atau ‘electronic vape associated lung injury’ (EVALI).

Related posts

Leave a Comment