101 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 25 Jan. – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 semalam terus menunjukkan penurunan dengan merekodkan 101 kes termasuk satu kes import berbanding 142 yang direkodkan kelmarin.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 5,035,073 iaitu 4,996,472 kes tempatan dan 38,601 kes import.

Pada masa yang sama, untuk hari ketiga berturut-turut tiada kematian baharu direkodkan dan ini bermakna jumlah kematian kekal 36,932 termasuk 7,866 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan pada Selasa turun kepada 9,998 berbanding sebelumnya 10,212 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,635 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 351 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana 12 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 315 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,988,143 pesakit pulih.

Related posts

Leave a Comment