Hipkins rasmi PM New Zealand ke-14

WELLINGTON: Chris Hipkins secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand menggantikan Jacinda Ardern selepas pelantikannya disahkan oleh wakil Raja Charles III di New Zealand, Gabenor Jeneral Cindy Kiro.

Hipkins, 44 mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-41 New Zealand pada pukul 11.23 pagi ini (waktu tempatan) sejurus selepas Jacinda Ardern, 42, menyerahkan warkah peletakan jawatannya kepada Kiro.

Timbalan Perdana Menteri pula disandang Carmel Sepuloni yang turut mengangkat sumpah jawatan pada Rabu.

Hipkins yang juga bekas Menteri Tindak Balas Covid-19 dan Menteri Polis kemudiannya mengadakan pertemuan pertamanya dengan Menteri Buruh sebelum bertemu pihak media.

“Ini adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab terbesar dalam hidup saya,” kata Hipkins yang dipilih oleh Parti Buruh secara rasmi Ahad lalu.

Hipkins yang kurang berfesyen cukup dikenali kerana sikapnya yang berterus terang, dan dikenali meluas sebagai ahli politik berperibadi tinggi serta cekap melaksanakan tugas.

Beliau juga seorang yang lemah-lembut sejak zaman awalnya sebagai pelopor politik mahasiswa, pernah ditangkap dan disiasat pada penghujung 1990-an berikutan membantah cadangan pembaharuan pendidikan universiti.

Seorang yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam pentadbiran kerajaan dan pembangkang, beliau berasal daripada golongan kelas pekerja dari Hutt Valley, Pulau Utara New Zealand.

Media melaporkan Hipkins memberitahu, ibu bapanya adalah daripada golongan sederhana dan bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk dirinya  dan abang.

Beliau mempunyai dua anak iaitu seorang anak lelaki berusia enam tahun dan seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun, bagaimanapun tinggal berasingan dengan isterinya.

Sesuatu yang menarik perhatian adalah beliau dikatakan menggemari  diet Coke manakala aktiviti kegemarannya adalah mengayuh basikal, berkebun selain menggemari kegiatan luar bangunan.

Beliau sebelum ini mengikuti pengajian politik dan kriminologi di Universiti Victoria di ibu kota Wellington dan kemudian bekerja dalam sektor latihan industri.

Hipkins pernah berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Menteri Pendidikan dan bekas Perdana Menteri, Helen Clark sebelum menjadi Ahli Parlimen pada 2008.

Dikenali sebagai seorang yang sopan dan santai, Hipkins sebaliknya mampu berperwatakan politik keras berikutan pernah terbabit dalam beberapa pertengkaran berprofil tinggi dengan bekas kerajaan konservatif Australia.

Pada 2021, beliau menuduh Australia ‘mengeksport sampahnya’ ke negaranya yang mana ia merujuk kepada dasar kontroversi Canberra untuk menghantar pulang penjenayah ke negara kelahiran mereka.

(Foto New Zealand Labour Party)

Related posts

Leave a Comment