Ziarah Tok Kadi pernikahan Anwar, Azizah

TASEK GELUGOR 23 Jan. – Datuk Mohammed Yussof Abd Latiff @ Abdul Latib, 84 yang diziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar seorang sahabat tetapi juga Tok Kadi yang menikahkan Perdana Menteri Ke-10 itu dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Melalui catatan di Facebooknya, Anwar memberitahu: “Saya turut menziarahi Ustaz Yusof Latif di Kepala Batas. Sosok ini adalah tok kadi yang menikahkan saya dan Azizah. Semoga Ustaz Yusof terus diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT,”.

Anwar berkunjung ke Pulau Pinang menghadiri beberapa program selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Selama ini, saya hanya mengenali Ustaz Yusof Latib sebagai guru agama yang mengadakan kuliah setiap minggu di masjid kampung saya di Guar Perahu (kini Masjid An-Nur) dalam kawsan Parlimen Permatang Pauh.

Kemudian, lebih dekat mengenali Ustaz Yusof apabila membuat liputan berita ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua pada 1990 hingga 1995 dan sebelum itu sepenggal sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Dalam program lawatan pertamanya di Pulau Pinang, Anwar mengambil kesempatan menziarahi sahabat lama itu serta isteri Datin Safiah @ Che Piah Salleh,79.Ndi Kampung Banggol, Pokok Sena.

Anwar bersama Dr Wan Azizah tiba di rumah Mohammed Yusof pada pukul 5.51 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam berbual serta dihidangkan bubur durian bersama pulut dan kuih muih.

Mohammed Yussof, yang menghidap penyakit angin ahmar sejak 30 tahun lalu, berkata beliau sangat gembira dan bersyukur kepada Allah dengan kehadiran Perdana Menteri untuk menziarahinya hari ini.

Menurut bekas Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang itu, Anwar adalah kawan dan sahabatnya sejak Anwar menjadi Presiden ABIM

“Boleh kata kalau beliau balik sini (Pulau Pinang), memang dia akan datang rumah saya ni. Masa dalam ABIM, kami sama-sama buat markas ABIM di sini, buat usrah panggil pensyarah-pensyarah, juga usrah ke rumah-rumah,” katanya kepada media.

Mohammed Yussof berkata, beliau terlibat dalam politik ketika itu adalah atas dorongan dan sokongan Anwar sendiri.

“Hari ini sangat-sangat seronok dan bersyukur kepada Allah. Kami gembira dengan kehadiran Perdana Menteri ke rumah, paling penting saya masih lagi ingat dan ‘tak gelong lagi’, Alhamdulillah saya bersyukur.

“Saya doakan Perdana Menteri terus berkhidmat untuk kita semua kerana kebijaksanaan beliau memang diperlukan oleh semua terutama dunia Islam, insya-Allah,” katanya.

Mohammed Yussof yang lumpuh bahagian kanan badan, berkata Anwar sempat berpesan kepadanya supaya banyak bersabar dengan keadaan kesihatannya.

Related posts

Leave a Comment