Henti pindah senjata, alat ganti ke Israel

GENEVA: Seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengingatkan semua negara mengelak daripada memindahkan sebarang senjata atau amunisi – ataupun alat gantinya kepada Israel yang akan digunakan di Gaza.

Beliau memberi amaran, tindakan seumpama itu, berkemungkinan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mesti dihentikan serta-merta.

“Semua negara mesti memastikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati pihak yang terbabit dalam konflik bersenjata, sebagaimana ditetapkan Konvensyen Geneva 1949 dan undang-undang lazim antarabangsa,” katanya.

Menurut pakar berkenaan, penghantaran sedemikian adalah dilarang walaupun negara pengeksport itu tidak berniat untuk senjata terbabit digunakan dalam pelanggaran undang-undang – atau tidak pasti sama ada ia akan digunakan bagi tujuan sedemikian – selagi terdapat risiko yang jelas.

Sementara itu, pakar PBB mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan Belanda pada 12 Februari lalu yang memerintahkan Belanda menghentikan eksport alat ganti jet pejuang F-35 kepada Israel.

Mahkamah itu mendapati wujud ‘risiko jelas’ bahawa alat ganti berkenaan akan diguna untuk melakukan atau memudahkan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa, berikutan ada banyak petunjuk bahawa Israel telah melanggar undang-undang kemanusiaan ketika perang.

Pakar terbabit berkata, Israel sudah berulang kali gagal mematuhi undang-undang antarabangsa.

Mereka menekankan, negara-negara terbabit Perjanjian Perdagangan Senjata Api mempunyai kewajipan tambahan untuk menolak eksport senjata api jika mereka ‘mengetahui’ ia akan digunakan untuk melakukan jenayah antarabangsa.

Atau jika terdapat risiko bahawa senjata api yang dihantar itu ‘boleh’ diguna untuk melakukan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pakar itu berkata keperluan untuk embargo senjata api dikenakan ke atas Israel, semakin meningkat susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 bahawa terdapat risiko munasabah berlakunya genosid di Gaza serta kemudaratan serius yang berterusan terhadap orang awam.

Related posts

Leave a Comment