Permatang Pauh asas kekuatan Anwar

PERMATANG PAUH 23 Jan. – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kawasan Parlimen Permatang Pauh tetap akan menjadi kubu kuat gerakan reformasi negara walaupun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kerusi itu berpindah kepada Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR juga menyifatkan sumbangan rakyat Permatang Pauh begitu besar dan menjadi saksi jatuh bangun perjuangan beliau selama ini.

“Kawasan mana jasa terbesar rakyat? Saya tidak pernah lupa walaupun saya pindah ke (Parlimen) Port Dickson, Tambun, tetapi asas kekuatan tetap Permatang Pauh. Tidak boleh lupa kerana terlalu lama jatuh bangun di sini.

“Kita faham kadang-kadang ada renggang di antara orang yang sudah dewasa sedikit dengan anak muda,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan, Bandar Perda, di sini.

Beliau yang ditemani isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut meluahkan rasa gembira dapat meluangkan masa bersama masyarakat Permatang Pauh.

Kira-kira 1,000 pengunjung menyambut ketibaan Perdana Menteri di tapak jualan aneka makanan yang menempatkan lebih 40 gerai penjaja kecil.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) November lalu, Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR dirampas Perikatan Nasional (PN) menerusi calon Pas, Fawwaz Md Jan yang menewaskan Nurul Izzah selaku penyandang dan dua calon lain mewakli BN serta Pejuang.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan kerajaan yang diterajuinya akan terus memberi tumpuan membela nasib rakyat tanpa perlu melayan ‘kerenah’ pihak tertentu dan menyifatkannya sebagai ‘masalah orang politik’.

Berpandangan pemimpin perlu memberi contoh yang baik, Perdana Menteri turut menekankan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan perlakuan rasuah tanpa memilih bulu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri-menteri, timbalan menteri dalam kerajaan, kita nampak sepakat. Saya kata turun gaji, mereka potong gaji, saya kata jimat belanja, (mereka) jimat.

“Saya kata hendak setiusaha sulit pejabat menteri mesti ambil pegawai tadbir dan diplomatik, tak boleh ambil orang politik. Orang politik ada peranan, penjawat awam ada juga peranannya. Barulah negara ini kita boleh bangkitkan dan bangunkan semula,” katanya.

Katanya, Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan terus fokus melaksanakan tanggungjawab dan amanah walaupun berdepan kerenah pihak tertentu yang mempertikai dasar dilaksanakan.

Tanpa menyatakan secara terperinci pihak dimaksudkannya, Anwar berkata, kerajaan mempunyai banyak tugas yang perlu diberikan tumpuan bagi membantu rakyat dan bukan semata-mata melayan kerenah pihak terbabit.

“Tak payahlah kita nak layan semua kerenah dia. Kita tak ambil gaji pun dia marah, ambil gaji kata tinggi sangat, ini masalah orang-orang politik yang tidak diperingatkan untuk apa kita ini berjuang dan memimpin.

“Pemimpin itu menunjukkan contoh yang baik, siapa tidak mahu kemudahan, saya pun mahu tetapi kita perlu memikirkan tanggungjawab bahawa rakyat yang lain susah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment