Sedekah untuk undi adalah rasuah

BAYAN LEPAS 23 Jan. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap sesuatu pemberian bagi meraih undi semasa pilihan raya sebagai sedekah.

Katanya, fahaman sedemikian adalah salah sebaliknya perbuatan berkenaan sebenarnya adalah satu bentuk rasuah kepada pengundi, dan boleh merugikan negara serta masyarakat.

“Sedekah untuk amal jariah itu okey, tetapi sedekah untuk undi pada pilihan raya itu adalah korupsi,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dianjurkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, selain isteri Perdana Menteri,  Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dilapor menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya oleh individu bukan calon tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi.

Beliau dilapor berkata, pemberian terbabit adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun juga berkata , negara (ini) mampu naik balik, dan beliau percaya dan yakin Malaysia mempunyai potensi yang cukup baik untuk diangkat semula sebagai negara maju di rantau ini.

Syarathya kata Anwar,  amalan merompak kekayaan negara melalui gejala rasuah perlu dihentikan sama sekali.

Justeru Perdana Menteri mengingatkan pemimpin politik, penjawat awam peringkat tertinggi atau badan-badan penguatkuasaan bahawa mereka mesti dan wajib menghentikan amalan berkenaan.

“Saya tidak akan tolak ansur lagi dengan sikap orang yang menggunakan kontrak atau projek untuk mendapat atau mengambil kesempatan mencari kekayaan yang bukan hak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mengajak seluruh rakyat untuk menerima perbezaan agama dan kaum demi membina kekuatan penyatuan.

Katanya , Malaysia akan mencapai kejayaan jika rakyat bersatu padu dan menolak semua jenis prasangka perkauman kerana persaingan atas kepentingan kaum dan agama hanya akan menanam rasa kebencian dalam kalangan masyarakat.

Katanya, gagasan ‘Masyarakat MADANI’ yang diterapkan oleh Kerajaan Persekutuan diterajuinya tidak akan bermakna jika masih ada persaingan dan kefahaman sempit membabitkan agama dan bangsa dalam kalangan rakyat.

“Slogan Masyarakat MADANI menuntut keyakinan kita sebagai rakyat. Semua agama ada kepercayaan mereka, tetapi untuk hidup dalam masyarakat mesti faham kemanusiaan dan kemanusiaan itu tiada makna jika tiada kasih sayang antara kita.

Bila ada persaingan kaum dan agama yang sempit, maka yang ditanam itu adalah kebencian. Kita perlu terima perbezaan kita sebagai satu kekuatan,” katanya.

Anwar menambah, tiada sesiapa pun yang meminta dilahirkan sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, sebaliknya ia adalah takdir Allah SWT yang mesti diterima dan diraikan.

Perdana Menteri juga mengajak rakyat menanam keberanian untuk menolak fahaman perkauman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Andai wujud semangat perpaduan utuh dalam kalangan rakyat untuk menolak gejala buruk berkenaan, beliau yakin Malaysia akan dapat mencapai kemajuan dalam masa singkat yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Perdana Menteri juga memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memusatkan pembangunan ekonomi negeri seiring keadilan sosial dengan mengambil kira golongan miskin bandar dan B40.

“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, pengagihan kekayaan perlu seimbang dan kita perlu melakukan lebih lagi untuk rakyat bawahan serta komuniti B40. Hanya dengan cara itu, pembangunan akan menjadi lebih seimbang dan adil. Ini yang dilakukan sekian lama di Pulau Pinang,” katanya.

Katanya lagi, pembangunan yang adil dan seimbang untuk semua lapisan rakyat tidak boleh dicapai jika ekonomi negara gagal dipacu untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Related posts

Leave a Comment