Majoriti ahli Parlimen kirim warkah

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, tidak timbul soal ahli Parlimen menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung warkah meminta perkenan baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.

Katanya, warkah itu bagi menyampaikan hujah ahli Parlimen mengenai pengisytiharan darurat yang dikuatkuasakan ketika ini, merayu ihsan serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula alasan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Dalam sidang media atas talian melalui Facebooknya hari ini, beliau mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah itu.

“Ya benar, sekarang ini ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong itu sudah mencecah lebih dari majoriti… bukan membantah, (tetapi) merayu ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang, melihat semula dan mengkaji alasan dibawa oleh Perdana Menteri (yang) tidak munasabah dan tidak cukup kuat,” katanya.

Beliau berkata surat itu dihantar semalam (Selasa) dan berharap Yang di-Pertuan Agong dapat memberi pertimbangan dan akan menerima keputusan kebijaksanaan Tuanku.

“Cuma saya nak kata, fakta kita lakukan apa… surat kita itu merujuk kepada pengisytiharan darurat… saya tegaskan semula, memohon ihsan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, melihat hujah-hujah yang kami kemukakan kalau diperkenankan untuk menimbang,” katanya

Beliau juga menegaskan penggantungan sidang Parlimen susulan pengisytiharan darurat adalah cubaan menghalang suara rakyat dibahaskan.

“Perlembagaan menetapkan Perkara 150 itu, Pengisytiharan Darurat 150 (3) membolehkan Parlimen berjalan seiring… menyegerakan beberapa langkah dikira perlu untuk keselamatan negara,” katanya.

Malah Anwar turut menyifatkan tindakan kerajaan menggantung sidang Dewan Rakyat kerana tidak berupaya mendengar hujah daripada setiap Ahli Parlimen.

“Ini kita usulkan mengapa dilarang sesi Parlimen? Ada mengatakan urusan lain boleh, kerana tidak ada keupayaan, kewibawaan pimpinan untuk mendengar, berhujah dan menjawab serta mengulas.

“Supaya mereka (kerajaan) mampu melakukan apa sahaja tanpa dipersoal, kerana kuasa darurat itu kuasa besar dan kuasa mutlak. Apa salahnya kuasa itu ada, tetapi diimbangi Parlimen supaya dapat dibahaskan.

Tambah Anwar lagi, jika Parlimen dapat bersidang ketika darurat, beliau menjangkakan apa sahaja proses dapat dipercepatkan terutama melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat.

Related posts

Leave a Comment