UMNO gesa Sweden bertindak tegas

KUALA LUMPUR 23 Jan. –  UMNO mengutuk tindakan keji ahli politik haluan kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran dalam protes terhadap Turkiye Sabtu lalu  dan menyifatkannya sebagai menyalahguna kebebasan bersuara.

Presiden UMNO, Dr AHmad Zahid Hamidi, berkata perbuatan Paludan itu juga satu tindakan provokatif terhadap umat Islam seluruh dunia.

Justeru, katanya pemerintah Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap Paludan kerana perbuatan biadap itu boleh menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia berbilang agama.

“Tanpa mengira niat sebenar beliau, tindakan keji oleh Paludan adalah provokasi yang jelas dan sangat tidak menghormati masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Justeru, UMNO menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan sewajarnya terhadap kebencian yang mengerikan ini terhadap Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga menyifatkan perbuatan itu sebagai menyalahgunakan kebebasan bersuara.

Beliau menggesa pemerintah Sweden mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif itu yang bertujuan mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.

“Kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden itu membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

“Kita juga menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Perbuatan biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment