Putus hubungan diplomatik jika Sweden diam

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Tindakan Rasmus Paludan membakar senaskhah kitab suci al-Quran adalah ‘jenayah paling buruk’, biadab dan terkutuk yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Ketua Penerangan Putra Malaysia, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan antiIslam itu tidak boleh dibiarkan kerana ianya mengundang tidak balas oleh umat Islam.

“Putra mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji dan biadab terhadap kitab suci umat Islam al-Quran di Sweden walaupun amaran umat Islam memberi amaran berulang kali sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Paludan bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menurut Shahrulufti, penghinaan terhadap agama Islam itu boleh mengundang tindak balas umat Islam yang selama ini sentiasa bersabar dengan penghinaan yang dilakukan termasuk dituduh sebagai pengganas.

“Perbuatan keji ini adalah satu lagi contoh Islamofobia dan gerakan perkauman dan diskriminasi yang berlaku di negara dan masyarakat yang dikatakan bertamadun, berpendidikan dan waras tetapi bertindak saperti orang hilang akal,” katanya.

Beliau berkata, Sweden patut diberi ingatan supaya jangan kerana seorang berperangai haiwan seperti Rasmus Paludan ini menyebabkan seluruh dunia bermusuhan kerana agama.

“Insiden ini menyakitkan umat Islam di seluruh dunia dan menandakan provokasi serius yang disengajakan,” katanya.

Putra menggesa Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Sweden jika negara itu tidak mengambil tindakan tegas dengan menghukum Rasmus Paludan yang melakukan kekuatan terkutuk ini.

Di samping itu, Putra memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengutuk perbuatan biadab Rasmus Paludan atas nama Kerajaan Malaysia dan berharap mengambil tindakan seterusnya jika Sweden masih berdiam diri.

Related posts

Leave a Comment