Lengkap 2 dos boleh solat Aidiladha

KOTA KINABALU 24 Jun – Sabah membenarkan solat sunat Aidiladha serta pelaksanaan ibadat korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan syarat yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata bagi solat sunat,  kapasiti dibenarkan satu pertiga daripada keluasan dewan utama solat atau 50 orang jemaah atau mana yang lebih rendah.

Ia juga tertakluk dengan syarat iaitu bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin sahaja, serta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama serta tertakluk kepada situasi semasa pandemik

Mengenai pelaksanaan ibadat korban, beliau berkata kebenaran diberi di kawasan yang bukan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Lokasi penyembelihan yang dibenarkan adalah di rumah sembelihan, rumah penyembelihan ruminan swasta berlesen, masjid dan surau dengan kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Selain itu, penyembelihan turut dibenarkan di kawasan-kawasan lapang seperti balai raya dan dewan yang bersesuaian, tertakluk kepada kelulusan sementara jumlah haiwan sembelihan di masjid atau surau, tidak lebih daripada lima ekor sehari, kecuali kambing 10 ekor.

Related posts

Leave a Comment