DMDI desak Sweden ambil tindakan tegas

MELAKA 23 Jan. – Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang dianggap melampau dengan membakar al-Quran di negara itu, kelmarin.

Presiden DMDI, Mohd Ali Mohd Rustam, berkata,  tindakan terkutuk oleh ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan itu boleh menjejaskan keharmonian selain menimbulkan rasa marah dalam kalangan umat Islam dunia.

“DMDI mengutuk sekeras-kerasnya terhadap tindakan terbabit. Kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelampau itu yang sentiasa menjadikan Islam sebagai musuh mereka.

“Islam tidak pernah memusuhi sesiapa dan tindakan Islamofobio membuktikan mereka sengaja mahu membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Ini satu provokasi yang melampau terhadap Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, berkata, DMDI turut mempertimbangkan untuk mengutus surat terhadap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta kerajaan Sweden bagi menzahirkan rasa bantahan berkenaan.

Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Paludan bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Related posts

Leave a Comment