Pakar perancangan bandar tempatan sudah pupus?

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Apa istimewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura hingga Menteri DAP KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) beria benar nak bawa masuk ke Malaysia?

Itu persoalan yang dilontar oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berhubung keputusan kerajaan ‘mengimport’ pakar daripada agensi perumahan Singapura, HDB.

Beliau membangkitkan persoalan siapakah individu yang ‘merestui’ keputusan membawa masuk pakar dari Singapura itu serta mempertikai kegagalan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim untuk memantau isu berbangkit.

Sebelum ini, Menteri KPKT, Nga Kor Ming, mengumumkan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.

Langkah itu, jelas Kor Ming adalah antara komitmennya untuk memberi tumpuan khusus kepada sektor perumahan, selain menyatakan kesediaan untuk mempelajari daripada negara lain termasuk dari Jepun dan China

Dr Muhammad Faiz Na’aman dalam kenyataannya juga khuatir model perumahan yang bakal diperkenalkan kelak oleh pakar asing hanya menguntungkan pihak tertentu seperti didakwanya sudah berlaku di Pulau Pinang.

“Dah pupus ke pakar-pakar perancangan bandar tempatan atau ada udang di sebalik batu untuk menyusun struktur penduduk dan pemilikan hartanah negara kita menjadi seperti Singapura?. Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar.

“Saya bimbang ada ‘grand design’ politik yang besar di sebalik usaha ini, kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang. Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat sahaja rumah-rumah atau projek pembangunan khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya.

“Sekilas ikan di air, kita sudah boleh tahu jantan betinanya apa agenda sebenar kerajaan yang dikuasai DAP ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment