Cantuman Rindu Haramain temukan jemaah

KUALA LUMPUR 8 Ogos  – Seperti tahun-tahun sebelumnya, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) mengambil inisiatif mempertemukan semula jemaah haji di bawah kendaliannya tahun ini menerusi program Cantuman Rindu Haramain.

Majlis perjumpaan ukhuwah itu berlangsung di Hotel Royale Chulan, dihadiri 305 jemaah yang memilih pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) Andalusia dan majlis itu disifatkan kemuncak pengendalian jemaah selama 45 hari di Makkah dan Madinah.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Ida Riswana Idris berkata, majlis itu bukan sahaja meraikan mereka yang memilih Andalusia tetapi dapat mempertemukan semula dengan rakan-rakan yang bersama menunaikan haji.

Katanya, ukhuwah atau ikatan perhubungan jemaah sangat baik lebih-lebih lagi sebelum ke Tanah Suci kebanyakan mereka sudah bertemu pada majlis simulasi manasik haji yang diadakan di Semenyih dan Kota Bharu.

“Alhamdulillah dewan penuh dengan kehadiran 305 daripada hampir 500 jemaah Andalusia dan mereka sangat  gembira dengan majlis ini,” katanya kepada media pada program bertemakan “Berkongsi air mata mengubat rindu Baitullah”

Hadir sama pada majlis separuh hari itu adalah Pengerusi Eksekutif Andalusia,  Md. Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Ibrahim Mat Sin.

Menurut Ida Riswana, semasa di Makkah, selepas wukuf, Andalusia juga mengadakan majlis “Doa Dari Arafah” di mana para jemaah turut menceritakan pengalaman serta doa yang mereka titipkan semasa di sana.

Beliau berharap dengan program yang disusun serta khidmat baik yang diberikan petugas Andalusia yang diakui jemaah akan mendorong bakal-bakal haji pada musim akan datang untuk memilih Andalusia sebagai PJH mereka.

Ida Riswana menjangkakan bakal jemaah musim akan datang dijangka mendapat surat tawaran tidak lama lagi.

Pada masa yang sama barisan pengurusan Andalusia juga memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang mengendalikan jemaah dan akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

Majlis itu turut diisi dengan ceramah Ibrah Haji oleh Zainul Ibad dan Muhammad Muaz Shahrul Niza serta penerangan mengenai proses rayuan haji visa TH dan permohonan visa haji mujamalah oleh Khairul Sani Zamberi.

Majlis juga disajikan dengan tayangan video “Memori Kenangan Musim Haji 1447H/2026M” serta dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuk percutian.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment