TEHRAN – Selat Hormuz akan dibuka sepenuhnya sekiranya Amerika Syarikat (AS) memenuhi beberapa tuntutan Iran termasuk “memperbetulkan tingkah laku”, menarik kehadiran tenteranya di rantau Teluk dan menamatkan sekatan terhadap republik Islam itu.
Menurut kenyataan yang disiarkan media kerajaan Iran, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohammad Bagher Zolghadr, berkata laluan perkapalan strategik itu tidak akan dibuka semula sehingga Washington memenuhi beberapa tuntutan utama Tehran.
Antara syarat yang dikemukakan ialah AS tidak lagi mengancam Iran, menamatkan tindakan ketenteraan terhadap Iran dan sekutunya di rantau itu, menarik balik sekatan laut ke atas pelabuhan Iran, mengundurkan aset ketenteraan dari kawasan berkenaan, membayar pampasan kerosakan perang serta membebaskan aset Iran yang dibekukan.
Manakala jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Sardar Mohebi, turut menegaskan bahawa pembukaan semula Selat Hormuz bukan bergantung kepada rundingan Iran dengan Oman semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada penerimaan penuh syarat-syarat yang ditetapkan Tehran oleh AS.
Setakat ini, Washington belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi terhadap senarai tuntutan baharu yang dikemukakan Tehran.
Perkembangan itu berlaku ketika Iran dan Oman dilaporkan hampir memuktamadkan satu rangka kerja bagi menguruskan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata kedua-dua negara hampir mencapai persetujuan berhubung laluan transit kapal, namun menjelaskan bahawa ia tidak bermaksud selat berkenaan akan dibuka semula serta-merta.
Oman, yang bertindak sebagai perantara dalam rundingan tersebut, menyatakan perbincangan masih berlangsung dalam suasana yang “positif dan konstruktif”.
