PN sedia tangkis dakwaan UMNO

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Perikatan Nasional (PN) mendakwa, mempunyai bukti kukuh bagi menafikan dakwaan gabungan itu melakukan sogokan wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pada masa yang sama pemberian duit semasa kempen pilihan raya juga adalah bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu.

Justeru pasukan pembelaan parti itu sudah bersedia membuktikan bahawa dakwaan oleh UMNO Terengganu yang dibuat melalui petisyen pilihan raya itu, adalah tidak benar.

“Sudah tentu bila dia cabar kita dengan membuat petisyen, kita akan pastikan bahawa kita ada bukti untuk menunjukkan itu semua tak betul. Tujuan petisyen ini semata-mata kerana tak puas hati atau sebagainya,” katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PN di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Hamzah, pemberian wang ketika pilihan raya bergantung kepada situasi dan niat wang tersebut diberikan.

“Kadang-kadang mereka (penerima wang) yang minta daripada calon sebab kadang-kadang mereka mahu baiki rumah. Sebab itu kita kena berhati-hati, dan niat itu penting kenapa kita beri wang kepada orang yang minta itu,” katanya.

Awal bulan ini, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang kesemuanya dimenangi Pas, parti komponen PN.

Petisyen terhadap tiga kawasan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Related posts

Leave a Comment