Henti budaya masuk politik untuk jadi kaya

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Budaya ‘masuk politik untuk menjadi kaya’ perlu dihentikan segera, sebaliknya kekayaan perlu dijana menerusi perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, negara akan rosak jika orang masuk politik mahu menjadi kaya.

“Saya beri beberapa peraturan (kepada jemaah menteri) kalau nak kuat (stabilkan kerajaan) dan dapat sokongan rakyat, pemimpin kena tolak rasuah.

“Kalau nak kaya, kena berniaga dan jadi ahli perniagaan. Kalau nak jadi menteri dan jadi kaya, mereka kena keluar (daripada bidang politik),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini.

Anwar  turut mengulangi pendiriannya untuk memberi tumpuan terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari depan.

Anwar menyifatkan IKS di negara ini mempunyai keunikan tersendiri kerana sektor itu menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi di Malaysia.

“IKS ini perlu digerakkan dan diberi sokongan kerana selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun akibat penularan Covid-19 mereka mendepani cabaran yang besar.

“Banyak yang sudah tutup dan alami kerugian besqr akibat COVID-19 dan sebab itu kita akan beri tumpuan sama ada IKS dalam bidang teknologi, perkhidmatan mahupun agro.

“Itu yang akan kita beri tumpuan dalam belanjawan (dan mahu) kurangkan pergelutan soal kaum.

“Kalau ekonomi baik saya yakin orang miskin sama ada dalam kolompok Melayu, Cina mahupun India dapat dibantu dan tumpuan itu kita boleh hilangkan perasaan perbezaan dan tumpu untuk bangunkan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment