Anwar ‘kembali’ ke Wisma MCA

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Selepas 25 tahun, Anwar Ibrahim hari ini ‘kembali’ ke Wisma MCA bagi merayakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri yang kelihatan gembira ketika hadir pada majlis itu  berkata beliau menghargai undangan MCA ke majlis berkenaan, selepas komponen BN itu kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Kali terakhir Anwar menghadiri majlis berkenaan adalah ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebelum dipecat daripada jawatan itu pada 1998.

Turut hadir isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Hadir sama Presiden MCA Dr. Wee Ka Siong dan beberapa menteri Kabinet.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata, beliau gembira dapat bertemu rakan lama pada majlis berkenaan dan menyifatkan persababatan beliau dengan MCA, tidak pernah putus walaupun ketika beliau dalam pembangkang sebelum ini.

“MCA itu dalam rangka persahabatan lama tapi yang bagusnya, kita tidak pernah putus persahabatan walaupun perbedaan parti dan pandangan dari semasa ke semasa tapi sekarang balik semula (bersama),” katanya.

Anwar berkata ruang perpaduan bersama MCA kali ini, akan dimanfaatkan bagi menumpukan usaha menangani isu pembangunan dan ekonomi negara bersama komponen itu.

“Dulu kita berbeda pandangan dan haluan. Saya dipecat daripada UMNO dan saya terpaksa lawan. Saya juga banyak berbincang dengan Presiden MCA dan nampak kita tumpu pada pembangunan serta ekonomi Malaysia,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 1998. Beliau kemudian dipenjarakan atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa, yang disifatkannya sebagai percubaan bermotifkan politik untuk menamatkan kerjayanya.

Pada majlis itu, Anwar dan tetamu yang hadir turut menggaul yee sang sebagai simbol kepada kemewahan dan kemakmuran bagi masyarakat Cina.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian tradisional kaum berkenaan.

Sementara itu Ahmad Zahid menyifatkan kehadiran Perdana Menteri ke Wisma MCA bagi bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, sebagai petanda baik perpaduan yang lebih erat akan terjalin antara semua bangsa di Malaysia.

“Di bawah Kerajaan Perpaduan, kita perlu menerima hakikat landskap politik baharu telah terbina, kita harap MCA akan menjemput Perdana Menteri setiap tahun,” katanya.

Related posts

Leave a Comment