Zahid bidas agih wang dianggap sedekah

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Pengerusi Barisan Nasional (BN),  Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap ‘double standard’ Presiden Pas  Abdul Hadi Awang yang mendakwa agihan wang kepada pengundi sebagai sedekah.

Katanya sikap seumpama itu dibimbangi akan menyebabkan tanggapan serong umum khususnya orang Islam berikutan sikap ditonjolkan Ahli Parlimen Marang itu selaku ulama yang beliau dakwa tiada integriti.

“Kalau dia buat (dianggap) sedekah. Kalau kita bagi (dianggap) rasuah. Ulama ini jangan tukar-tukar hukum dan jangan tukar fatwa…akhirnya ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan oleh orang Islam.

Ulama kena ada integriti. Sebagai ulama, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Kenyataan Presiden UMNO itu sebagai mengulas pendirian Abdul Hadi semalam, yang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu didakwa sebagai sedekah.

Abdul Hadi berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan sambil menambah undang-undang menetapkan bahawa setiap calon serta wakil tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

Untuk rekod Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Terengganu bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Pengerusinya, Ahmad Said berkata tindakan itu dilakukan atas dakwaan parti lawan yang bertindak mengagihkan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu beberapa hari sebelum PRU15.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, Pas menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15, dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.

Dakwa Ahmad, antara rasuah yang diagihkan semasa tempoh berkempen itu termasuklah wang kepada pengundi luar serta beberapa peruntukan kerajaan Terengganu pimpinan Pas kepada belia, mahasiswa dan warga emas.

Related posts

Leave a Comment