RM1b bangunkan sempadan Sarawak-Kalimantan

KUCHING 20 Jan.. –  Sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan bagi membangunkan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan susulan pembangunan ibu kota negara Indonesia, Nusantara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar , peruntukan itu bagi membina Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta jalan raya di kawasan berdekatan sempadan.

Beliau berkata, pembangunan di kawasan sempadan Sarawak yang berdekatan dengan Nusantara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta, minggu lalu.

“Dalam pertemuan itu dibincangkan mengenai pembangunan ibu kota baharu Indonesia yang berdekatan sempadan Sarawak dan sebahagiannya di Sabah.

Justeru kita putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan ICQS dan keselamatan seperti polis dan tentera serta menyediakan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat terlalu daif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak,  Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah,  Hajiji Noor.

Anwar berkata, peruntukan awal sebanyak RM1 bilion bagi memulakan kerja pembangunan pos kawalan sempadan itu dalam tempoh segera yang dirancang dibina di Tapak Megah yang terletak di pedalaman Baleh dalam Bahagian Kapit.

Mengenai hasil mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 itu, Anwar berkata, antara yang diputuskan untuk dilaksanakan ialah pelantikan wakil kerajaan Sarawak sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kerajaan Sarawak sudah agak lama meminta pelantikan itu dan atas kuasa sebagai Menteri Kewangan, saya melantik Setiausaha Kewangan Sarawak (Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar) berkuat kuasa hari ini.

“Pelantikan beliau dibuat berdasarkan syarat profesional serta pengalaman dan beliau sememangnya mempunyai kelayakan,” katanya.

Anwar juga memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan syor oleh Premier Sarawak berhubung pengecualian cukai bagi Bayaran Insentif Khas yang diterima penjawat awam negeri.

Kelulusan ini juga akan diperluaskan bagi meliputi bayaran insentif atau bantuan khas kerajaan negeri kepada penjawat awam di semua negeri.

Majlis juga bersetuju menambah baik tahap Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak serta meneroka formula yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan negeri dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan komited untuk menyegerakan rundingan formula baharu Pemberian Khas ini. Sebagai langkah permulaan, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing akan dinaikkan lebih kurang RM300 juta setahun,” katanya.

Related posts

Leave a Comment