Usul tiada pertandingan dibawa kepada RoS

PUTRAJAYA 20 Jan. – Isu usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan UMNO akan datang, dibawa ke pengetahuan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini.

Dua ahli UMNO mendesak RoS meneliti laporan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengandungi usul tambahan itu, yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti.

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan seorang lagi ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom hadir menyerahkan aduan terbabit kepada Pengarah Bahagian Siasatan RoS.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa perkara itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

“Peraturan UMNO, Perenggan 10 menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Dalam UMNO ada klausa, boleh masukkan usul pada hari persidangan tapi dengan dua syarat iaitu MKT mesti menerangkan usul terbabit, tapi ini tidak berlaku… MKT tidak langsung menerangkannya, keduanya, usul itu mesti ‘public interest’, tapi usul berkenaan tidak, ia hanya untungkan dua orang sahaja.

Sebab itu hari ini kita bawa ke ROS kerana kita rasa memang apa yang diputuskan pada PAU betul tetapi apabila ia bercanggah dengan perlembagaan parti ia tidak boleh diguna pakai,” katanya selepas menghantar surat aduan kepada ROS hari ini.

Muhammad Aizat Fikri mengadakan pertemuan dan menyerahkan aduan terbabit kepada Pengarah Bahagian Siasatan ROS.

“ROS kata mereka akan siasat, kalau ada asas mereka akan panggil pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau juga menegaskan, usul tambahan terbabit tidak membawa suara hati akar umbi sebaliknya dikemukakan oleh wakil UMNO Negeri Sembilan pada PAU terbabit.

“Kita minta kelulusan usul itu pada PAU dilihat semula, cara aturan usul itu dibawa tidak betul.

“Kita ahli UMNO yang punya suara dan saya minta juga kepada ahli di luar sana yang mana rasa takut, segan tidak payah segan, ini suara kita,” katanya.

Ditanya sama ada tidak takut berdepan tindakan tatatertib parti kerana membuat laporan kepada RoS, beliau berkata perkara itu terserah kepada parti.

“Kami tidak ada masalah (berdepan tindakan) kerana kami berjuang untuk perkara yang benar,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fiqri Firdaus berkata, terdapat elemen kemandulan demokrasi UMNO pada usul tambahan terbabit.

“Apabila ada usaha sebegini, kaji balik. Daripada kuota, terus kepada 160,000 perwakilan, ia bersifat progresif.

“Sekurang-kurangnya ia perlu dibawa ke 191 bahagian. Itu adalah salah satu rasional kenapa kami bawa ke RoS bagi memeriksa jika ada pertikaian terhadap usul berkenaan,” katanya.

PAU 2022 baru-baru ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum 19 Mei depan.

Sebelum itu, beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden termasuk Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.

Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, turut mendakwa bahawa usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di PAU 2022 tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.

Related posts

Leave a Comment