Khutbah ingatkan “Bahana Nikah Sindiket”

BANGI 20 Jan. –  Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan masyarakat Islam supaya mengelakkan ‘pernikahan sindiket’ yang boleh membawa pelbagai masalah dan merugikan banyak pihak, terutama suami isteri.

Menurut teks kutbah itu, pernikahan di luar negara tanpa kebenaran atau tidak mengikut peraturan boleh menjejaskan urusan penting pada masa depan kerana tiada Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.

Khutbah bertajuk ‘Bahana Nikah Sindiket’ oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), itu turut menjelaskan proses pendaftaran pernikahan berkenaan akan memakan masa panjang.

Ini kerana ia membabitkan prosiding dan dokumentasi untuk didaftarkan semula dengan pengesahan daripada mahkamah, dan akan bertambah rumit sekiranya dokumen berkaitan yang dikemukakan adalah tidak mencukupi atau palsu.

“Jika tidak didaftarkan, maka tiada Surat Perakuan Nikah yang benar akan diperoleh. Kita harus sedar Surat Perakuan Nikah adalah sangat penting dalam kehidupan sebagai suami isteri.

Tanpanya, kita tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa, lalu mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara juga tidak dapat dipastikan. Urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak akan turut bermasalah jika tidak mendapat status warganegara,” katanya.

Malahan pengurusan harta pusaka juga akan terkesan kerana pihak berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.

Di samping itu, pelbagai tuntutan di mahkamah seperti perceraian, pengesahtarafan anak, nafkah, hadanah, keadilan berpoligami antara isteri-isteri dan harta sepencarian, tidak dapat diuruskan berikutan gagal mengemukakan Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.

“Harus diingat juga, bahana sangat memeritkan ialah apabila mahkamah mendapati pernikahan dijalankan di luar negara itu tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak. Maka, pernikahan yang berlaku itu akan difaraqkan atau dibubarkan. Kaedah fiqh menyatakan: ‘Asal dalam perkara jimak adalah haram’.

“Tindakan undang-undang bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 boleh dikenakan kerana bernikah tanpa kebenaran, dan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” kata khutbah itu.

Khatib mengingatkan antara kesalahan yang akan dikenakan denda ialah kesalahan mengikut Seksyen 124 membabitkan poligami tanpa kebenaran, Seksyen 40 (akad nikah tanpa kebenaran), Seksyen 31 (lewat mendaftar perkahwinan) dan Seksyen 134 (bersubahat melakukan pernikahan).

Khutbah juga menjelaskan pelbagai sebab utama dikenal pasti menjadi punca berlaku pernikahan di luar negara, termasuk yang dijalankan tanpa kebenaran atau ‘pernikahan sindiket’.

Antaranya berpoligami tanpa kebenaran dengan alasan ia lebih mudah tanpa melalui proses di mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri sedia ada, sedangkan berpoligami dianjurkan antaranya dapat membina jaringan keluarga yang lebih luas dengan sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.

Begitu juga mendakwa wali nasab sedia ada tidak bersetuju atau enggan, sedangkan perkara berkenaan boleh diselesaikan dengan permohonan wali hakim atau wali raja di Mahkamah Rendah Syariah, malah ia lebih mudah dan selamat daripada kesan negatif jangka panjang.

Selain itu, pasangan terlanjur sehingga ada yang mengandung, justeru menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib mereka, sedangkan hakikatnya setiap perbuatan dosa tetap wajib bertaubat dan bersedia bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang berkemungkinan menjadi tidak sah taraf.

“Sebab lain ialah pasangan bernikah dengan warga asing, dengan anggapan ia mudah kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak bertanggungjawab bagi warga asing itu, sedangkan proses pendaftaran tanpa kebenaran akan mengambil masa lama dan biasanya menyebabkan kesukaran mendapatkan visa untuk terus tinggal di negara ini.

Satu lagi sebab dikenal pasti ialah rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana belajar atau bekerja di luar negara sering menganggap tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berwajib, sedangkan pelbagai kemudahan telah ada bagi mendapatkan kebenaran berkahwin.

Menyedari hakikat bahana perkahwinan luar negara tanpa kebenaran, khutbah itu menegaskan, umat Islam wajib mengambil pengajaran bahawa pernikahan yang hendak dilaksanakan mesti mengikut hukum syarak dan segala peraturan ditetapkan pemerintah demi sebuah kehidupan keluarga yang mawaddah, warahmah, sakinah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

Tegas khutbah itu, undang-undang yang dibuat bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya tujuan utama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dikuatkuasakan bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa akan datang.

Related posts

Leave a Comment