KOTA KINABALU 20 Jan. – Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), hari ini sebulat suara mengundi mengekalkan Dr Maximus Ongkili sebagai Presiden parti itu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu sebelum ini mengumumkan untuk berundur daripada memimpin PBS.
“Meskipun saya sudah mengumumkan untuk berundur pada pemilihan (PBS) akan datang, ahli Majlis Tertinggi tetap mengundi saya untuk kekal sebagai Presiden parti.
“Ini akan memberi masa yang mencukupi kepada PBS untuk mengenal pasti pengganti saya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadapnya.
Ongkili penyandang selama 27 tahun kerusi Parlimen Kota Marudu, tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tewas kepada calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Wetrom Bahanda, dengan majoriti 8,174 undi.
