PETALING JAYA 26 Jun – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini secara bersendirian, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu menegaskan MUDA bertekad membawa suara rakyat dan memperkenalkan politik baharu yang menjauhi amalan lapuk.
Berikutan itu, ini bermakna pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan di kawasan tertentu yang selama ini hanya dijangka melibatkan pertembungan antara parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan serta Perikatan Nasional (PN)
Parti Kerajaan Perpaduan di Semenanjung melibatkan PKR, DAP dan Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) serta UMNO, MCA, MIC yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, MUDA yang ketika ini berada di blok kerajaan, sudah beberapa kali memohon menyertai PH sebagai ahli gabungan tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.
Syed Saddiq pada satu sidang media khas di Ibu Pejabat MUDA di sini, hari ini berkata keputusan bertanding kali ini dibuat selepas mendapat persetujuan semua ahli dan pemimpin parti di peringkat negeri.
“Selepas berbincang berbahas, berdiskusi, dapat pandangan masyarakat, penyokong, ahli, dan badan bukan kerajaan (NGO), MUDA telah membuat ketetapan yang jelas dan berdasarkan konsensus parti iaitu pada enam PRN yang bakal diadakan nanti, MUDA akan menyertai dan bertanding atas kekuatan parti kita sendiri,” katanya.
Katanya, MUDA akan memperkenalkan politik baharu kepada pengundi Malaysia yang mengutamakan isu rakyat dan menyahpusat pentadbiran kerajaan.
“MUDA tidak mahu seperti sekarang, Perdana Menteri mengawal Menteri Kewangan dan Menteri Wilayah. Portfolio Perdana Menteri turut melantik pimpinan tertinggi seperti peguam negara, ketua pesuruhjaya SPRM yang sebelum ini kita katakan (janji) serah kepada institusi rakyat iaitu Parlimen,” katanya.
Syed Saddiq yang sebelum ini mempertikaikan beberapa keputusan Kerajaan Perpaduan berkata parti akan mengadakan kempen pilihan raya secara dalam talian dan bersemuka untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana penderma.
“MUDA adalah parti baharu yang kurang berpengalaman tetapi penuh semangat iltizam untuk mengembalikan kuasa rakyat dalam politik negara,” tegasnya.
