Terapkan Madani dalam pentadbiran

PUTRAJAYA 19 Jan. – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata ‘Malaysia Madani’ adalah sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Ketika menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari ini, beliau menyeru semua pihak khususnya barisan Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam supaya menerapkan Madani dalam urusan pentadbiran.

“Saya menaruh keyakinan tinggi Malaysia berupaya diangkat semula di persada (dunia)… kita tidak mahu Malaysia tercemar dengan skandal permasalahan dan pertelingkahan.

“Negara Madani angkat martabat negara untuk harus dikenali dan dihormati sebagai negara makmur… tunjuk kekuatan itu,” katanya.

Anwar berkata Madani, Madani tidak sama sekali akan mengetepikan tonggak mendirikan sistem atau menegakkan sistem yang lebih mampan kepada sebuah negara.

Sehubungan itu, kata beliau langkah-langkah yang akan diumumkan menerusi Belanjawan 2023 di Parlimen pada 24 Feb ini bakal mengembalikan asas seperti mempercepatkan kelulusan dan menghentikan kaedah mendapat komisen yang bukan hak.

“Ini semua boleh menambah keyakinan dengan menegakkan sistem atau negara hukum yang tidak akan memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, dan tidak juga menindas atau menekan individu atau puak yang tidak mendukung kita.

“Ini yang disebut sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar, berfungsi secara optimum dan kita selesaikan isu tata kelola dengan penyelarasan dan koordinasi tapi harus bermula dengan pengurusan atasan,” kata beliau.

Dalam aspek memacu pertumbuhan negara ini, Anwar menegaskan supaya aspek kemanusiaan sentiasa diambil kira kerana ia antara elemen penting dalam membangunkan negara.

“Peduli tentang gedung pasaran baharu tetapi tidak peduli tentang kedudukan taraf gerai rakyat yang miskin… ini contoh elemen ‘karamah insaniah’ yang diremehkan dalam tata kelola kepimpinan.

“Sebab itu pimpinan baik persekutuan, negeri dan daerah, penjawat awam dari peringkat tertinggi dan rendah dalam membincangkan soal pascapertumbuhan atau pascaCovid-19, manfaatkanlah pengalaman untuk belajar daripada kelemahan lalu dan bertindak sesuai dengan tuntutan baharu,” katanya.

Anwar berkata seluruh kepemimpinan dalam Kerajaan Perpaduan juga perlu meletakkan asas dan budaya baharu dan meninggalkan perkara lampau yang memberi kesan buruk kepada negara.

“Buka pintu hati kita, selamatlah negara kita, negara kita ini pernah menunjukkan potensi yang baik dan pernah tercorot. Maka berilah kesempatan untuk anak-anak kita, generasi penerus supaya harapan ini boleh dibina dengan kekuatan yang dimulai sekarang,” katanya

Related posts

Leave a Comment