Rokok RM10.8 juta dirampas

SUNGAI BULOH 19 Jan. – Empat lelaki tempatan ditahan dan sebanyak 143,950 karton rokok tidak bercukai bernilai RM10,864,000 dirampas dari sebuah stor di Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 12.15 tengah hari itu menahan lelaki lelaki tempatan berkenaan yang bertindak sebagai transporter dan penjaga stor.

Hasil serbuan, polis merampas 122,750 karton rokok jenama La Black dan 21,200 karton rokok jenama La Light yang tidak bercukai kastam dan merampas sebuah Perodua Myvi dan dua lori jenis Mitsubishi dan Datsun.

“Rokok ini ditempatkan di stor berkenaan dan ia akan dihantar ke mana-mana rangkaian atau kedai oleh suspek setelah mendapat permintaan daripada penjual melalui aplikasi media sosial,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sasikala Devi berkata, premis yang diserbu itu terletak di kawasan yang agak tersorok dan terpencil.

Beliau berkata dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang akan menentukan nilai rampasan selepas cukai, pihaknya juga bersama menyiasat sumber bekalan rokok itu

“Siasatan awal mendapati keempat-empat suspek yang kini direman sehingga 23 Januari ini mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut sejak Januari tahun lepas. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Related posts

Leave a Comment