Belanjawan 2023 tumpu bidang baharu

PUTRAJAYA 17 Jan. –  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini dijangka memberi tumpuan kepada bidang baharu termasuk ekonomi hijau, digital serta perusahaan kecil sederhana (PKS).

Katanya, selama ini bidang seperti PKS tidak diberikan tumpuan sedangkan ia adalah tunjang kepada ekonomi negara.

“Jadi pada tahun ini dalam belanjawan, ini adalah antara anjakan yang akan kita lakukan

Penumpuan terhadap isu perkhidmatan terutamanya teknologi digital yang kita sedikit ketinggalan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Belanjawan 2023, di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ekonomi negara sedang merudum, semua pihak tidak seharusnya merenung nasib dan berada dalam kelesuan, sebaliknya mencari jalan untuk menghadapinya.

Perdana Menteri turut menjelaskan ketiga-tiga sektor ekonomi berkenaan akan menjadi kritikal, terutamanya berikutan kelembapan ekonomi global semasa yang berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk perang Russia-Ukraine dan pasca pandemik Covid-19.

Unjuran yang dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terus menurun setiap kali kajian semula dilakukan.

“Kadang-kadang kita terpisah dengan realiti. Pengusaha bank dan syarikat besar keluarkan penyelesaian khusus untuk industri (masing-masing) tapi jangan lupa yang kita hendak bangunkan ialah masyarakat dan negara.

“Sebab itu saya gunakan (istilah) masyarakat madani, isu kemampanan ia harus difikirkan untuk jangka pendek dan panjang. Kemampanan negara tidak boleh dipertahankan jika berlaku kerosakan, rompakkan tanah dan balak seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kemampanan tidak boleh dipertahankan jika tiada komitmen jelas berhubung isu perubahan iklim dan satu dasar jelas untuk pulihkan kehijauan negara kita. Ia tidak akan berlaku tanpa rahmah dan ihsan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment