Bersatu rujuk mahkamah kerusi 4 ahli Parlimen GRS

KUALA LUMPUR 17 Jan. –  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan merujuk keoada mahkamah kedudukan empat anggota Parlimen yang memenangi kerusi atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini berikutan, keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul yang memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu,

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dalam kenyataannya hari ini menyifatkan Johari terkhilaf dalam membuat keputusan itu berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau percaya mahkamah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan.

Bagaimanapun , Johari dalam reaksinya berkata, keputusan yang dibuat adalah muktamad dan segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu telah dijelaskan dalam surat bertarikh 16 Januari yang dihantar kepada Bersatu.

“Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada Bersatu), itulah dia (keputusan), muktamad. Terpulang kepada BERSATU (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya.

Empat Ahli Parlimen terbabit ialah Ahli Parlimen Sipitang,  Matbali Musah;  Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan  Jonathan Yasin (Ranau).

Muhyiddin berkata, Johari turut terkhilaf dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu berhubung pengguguran keahlian serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik.

Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu.

“Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat terbabit kerana mereka ahli Bersatu dan Bersatu ialah pengasas serta parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada masa itu.

“Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai parti politik lain mengikut semangat dan inti pati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Dewan Rakyat terbabit ialah calon GRS dari parti Bersatu.

Katanya, ini bermakna, penyertaan mereka sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian dalam Bersatu ketika mereka bertanding dalam PRU15 lalu dan surat berkenaan sudah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membantunya membuat keputusan.

“Jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu , Fasal 27 Perlembagaan Bersatu memperuntuk kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersaru.

“Dalam hal ini, hanya MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat terbabit gugur keahlian mereka serta-merta, apabila mereka menyertai GRS,” katanya yang turut memuat naik surat rasmi Bersatu bertarikh 3 November 2022 berhubung senarai calon GRS untuk PRU15 bagi kerusi Parlimen di Sabah di Facebook.

Muhyiddin berkata, fakta jelas menunjukkan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022.

Tindakan bertukar parti empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022, iaitu kedua-dua perbuatan itu mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam BERSATU mengikut Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu selepas PRU15.

“Alasan yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah empat Ahli Dewan Rakyat terbabit menjadi ahli langsung GRS pada 27 Oktober 2022.

“Dengan mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu , Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam Bersatu gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU-15 pada 19 November 2022,” katanya.

Related posts

Leave a Comment