Madius Tangau serah jawatan Presiden UPKO

PENAMPANG 15 Jan.-  Madius Tangau secara rasmi melepaskan jawatan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kepada Naib Presidennya, Ewon Benedick, berkuat kuasa hari ini.

Ahli Parlimen Tuaran itu, berkata selepas ini beliau akan menumpukan tugas baharu sebagai Presiden Kehormat UPKO menggantikan pengasas parti, Bernard Dompok, selain kekal sebagai Ketua Bahagian UPKO Tuaran.

“Majlis Tertinggi UPKO melantik saya menjadi Presiden Kehormat, jadi saya akan terus menyumbang kepada UPKO dari segi perjuangan parti, namun skopnya lebih kecil

Saya juga masih Ketua Bahagian UPKO Tuaran. Selepas ini beban tugas presiden sudah tiada di bahu saya, jadi saya lebih banyak masa di Tuaran berkhidmat kepada rakyat Tuaran.

“Pada masa sama, saya juga masih menganggotai Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH),” katanya  selepas menyampaikan ucapan dasar terakhirnya selaku Presiden UPKO pada Konvensyen Tritahunan UPKO, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UPKO, Donald Mojuntin dan Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang.

Ewon, 39, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagaimanapun tidak hadir kerana menghadiri program pemukiman Kerajaan Perpaduan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di ibu negara.

UPKO sebelum ini mencapai kata sepakat untuk melaksanakan transformasi kepemimpinan dengan Madius akan menyerahkan jawatan presiden kepada Ewon pada Konvensyen Tritahunan Ke-16 parti itu, hari ini.

Madius turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Ewon menarik generasi muda bersama UPKO sejajar usianya yang masih muda.

Katanya, perubahan landskap politik negara juga menyaksikan peningkatan golongan muda, khususnya Undi18 yang menjadikan mereka golongan strategik sesebuah parti.

Madius, 64, menerajui UPKO sejak 2014 selepas mengambil alih jawatan Presiden daripada Bernard Dompok yang mengosongkan jawatannya.

Related posts

Leave a Comment