Tidak wajar halang ahli tanding No. 1 , 2

PONTIAN 15 Jan. – Tidak wajar untuk menghalang mana-mana ahli parti untuk menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, walaupun ketetapan sudah dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, semalam.

Pengerusi UMNO Johor, Hasni Mohammad, mendakwa ia berikutan kaedah usul tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU 2022, adalah melanggar perlembagaan parti.

Justeru Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, berpandangan isu pemilihan jawatan tertinggi parti itu perlu diteliti sewajarnya.

Beliau berpendapat, cara usul tambahan itu dibawa melanggar kehendak perlembagaan parti, sedangkan usul itu perlu mendapat persetujuan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Ada juga pendapat menyatakan ia tidak mematuhi garis panduan ditetapkan RoS. Sama ada perkara itu benar atau sebaliknya, itu terpulang kepada pentadbiran UMNO menanganinya.

“Oleh itu, UMNO Johor berpandangan tidak perlu wujud sekatan kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding atau menawarkan diri walaupun ada ketetapan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

“Saya percaya apa pun yang terjadi, Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bersetuju dan majoriti pemimpin UMNO juga turut bersetuju bahawa tidak ada sekatan untuk mana-mana pihak bertanding atau menawarkan diri walaupun adanya usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Malah saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan tiada halangan, kalau ada ahli yang menawarkan diri untuk bertanding. Ini kerana saya percaya itu dibenarkan dalam perlembagaan dan itu adalah hak ahli yang dijamin melalui perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara mengangkat sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian, di sini, hari ini.

Semalam, perwakilan UMNO dari Johor melahirkan rasa pelik apabila usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan kelmarin boleh diterima dan dibahaskan.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, berkata imej parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya mempunyai kesan pada pemilihan akan datang.

“UMNO Johor berpandangan masyarakat di luar terutama pimpinan parti di peringkat cawangan memandang tentang imej parti selepas PRU15. Kita tidak melihat selain daripada mahu menguatkan kedudukan parti.

“Oleh itu, parti seolah-olah digambarkan tidak menjunjung demokrasi atau kebebasan lebih-lebih lagi apabila ada ahli-ahli yang bertanya berhubung kelulusan usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya.

Related posts

Leave a Comment