5 ADUN Sabah gugur atau kosongkan kerusi

KUALA LUMPUR  13 Jan. – Apakah nasib lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk Timbalan Ketua Menteri III dari UMNO yang menyertai kerajaan diterajui Ketua Menteri, Hajiji Noor?

Ini berikutan UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan perlembagaan parti di mana Ahli Parlimen dan ADUN yang menyertai pakatan lain yang UMNO tiada dalam pakatan itu, akan tergugur keahliannya secara automatik.

Adakah sekadar gugur keahlian tanpa perlu mengosongkan kerusi seterusnya mengadakan pilihan raya kecil (PRK). Jika sekadar gugur keahlian, mereka boleh sahaja menyertai parti lain.

Berpindah ke parti lain bukan sesuatu yang luar biasa apatah lagi Sabah belum mempunyai akta ahtilompat. Mungkin, inilah yang menyebabkan pentingnya akta antilompat parti. Sabah belum membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

UMNO Sabah bagaimanapun menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan kedudukan lima ADUN itu.

Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya;  Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut); Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan  Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Pindaan itu dilakukan selari dengan undang-undang bertukar parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang mula berkuatkuasa sejak Oktober lalu.

Usul dibawah fasal 20.11 perlembagaan UMNO itu diluluskan sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas 2022 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Usul pindaan lain yang diluluskan PAU khas juga, berkaitan fasal 8.4 perlembagaan UMNO, iaitu penyertaan secara automatik Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap UMNO sebagai perwakilan tetap PAU.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Mohamad Khaled Nordin ketika membentangkan usul pindaan itu menjelaskan, ia dilaksanakan selepas diputusakan parti serta bagi membolehkan perlembagaan UMNO bersifat terkini.

“Pindaan ini dilakukan kerana kita mahu laksanakan apa yang sudah diputuskan parti dan kita mahu memastikan peruntukan dalam perlembagaan parti bersifat terkini dan selari dengan peruntukan undang-undang semasa negara,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Kandungan pindaan perlembagaan iaitu fasal 20.11.1 itu antara lain menyebut, keanggotaannya akan tergugur secara automatik jika ahli UMNO itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau ADUN bebas.

Sementara, kandungan sedia ada di bawah fasal 20.11 sebelum ini masih dikekalkan dan kini diletakkan di bawah fasal 20.11.2 iaitu ahli UMNO hilang keanggotaan secara automatik jika bertanding di mana-mana pilihan raya sebagai calon bebas atau calon pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO,  Ahmad Maslan menjelaskan pindaan kepada fasal 20.11 perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia selari dengan undang-undang bertukar parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang mula berkuatkuasa sejak Oktober lalu.

Dengan kelulusan pindaan itu, ia sekali gus dilihat boleh memberi kesan terhadap keanggotaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang sebelum ini menyertai kerajaan dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sebelum ini memutuskan untuk menarik sokongan kepada Hajiji yang mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan sebahagian besar ADUN UMNO di Sabah juga kini duduk di blok pembangkang.

Bagaimanapun gerakan yang dikatakan mahu menukar kerajaan gagal apabila lima ADUN terbabit, tidak menyertai pendirian UMNO dan BN sebaliknya tiga ADUN UMNO dalam kumpulan Bung Moktar, termasuk beliau sendiri hilang jawatan menteri dalam Kabinet negeri.

Kemelut itu menyaksikan dua daripada lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji ‘naik pangkat’ dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Hajiji.

Ir Shahelmey , menggantikan portfolio Bung Moktar sebelum ini sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah manakala James Ratib, naik pangkat daripada Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

UMNO Sabah bagaimanapun tidak mengiktiraf pelantikan kedua-dua mereka kerana tiada sebarang cadangan dikeluarkan parti untuk memilih mereka.

Sementara itu, Bung Mokhtar berkata, UMNO memang selalu berhadapan dengan cabaran, selain yakin kemelut politik di negeri itu dapat diselesaikan.

“Saya meminta ahli UMNO di Sabah supaya kita ikut keputusan parti iaitu mendengar apa juga yang sudah dinyatakan Presiden parti untuk kita bertenang sebab beberapa persoalan itu akan ada jawapannya.

“Krisis politik memang tak boleh selesai walaupun di Sabah ini sudah tenang. Pergolakannya masih belum selesai sebab pembentukan kerajaan di peringkat awal adakah dari UMNO dan PN (Perikatan Nasional), ini juga menjadi satu persoalan. Tak mengapalah, orang main politik, kita pun main politik,” katanya.

Bung Mokhtar turut menangkis dakwaan kononnya UMNO Sabah berniat mahu menggulingkan kerajaan dipimpin Hajiji.

“Guling ini berniat jahat. Tujuan kita ini mahu perbetulkan hala tuju politik supaya rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.

“Guling ini bermakna membinasakan.. ada definisi berbeza. Kita bukan mahu mengguling, kita mahu menentukan supaya rakyat sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment