KOTA KINABALU 14 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Dr Yusof Yacob dilantik sebagai Pengerusi Bahagian Pelaburan Kerajaan Negeri, Qhazanah Sabah Bhd berkuat kuasa serta-merta.
Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan berkata ahli politik Barisan Nasional (BN) itu menerima surat pelantikan daripada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dr Yusof adalah salah seorang daripada lima ADUN UMNO-BN yang tidak menyertai Ketua Perhubungan UMNO Sabah Bung Moktar Radin yang menarik semula sokongan terhadap Hajiji.
Beliau menggantikan Salleh Said Keruak yang ditamatkan perkhidmatan oleh Hajiji dan pelantikan ini menimbulkan rasa tidak puas hati Bung Moktar.
Dalam majlis yang sama, Hajiji turut melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Frankie Poon sebagai Pengerusi Sabah Development Bhd (SDB).
Ketua DAP Sabah itu turut menerima surat pelantikannya berkuat kuasa serta-merta kepada syarikat pelaburan negeri itu.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong turut hadir pada majlis itu.
