Apabila Tok Mat tanya, Tok Mat jawab

TOK Mat tanya, Tok Mat jawab. Itu rumusan kepada ucapan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan semasa merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, WTC malam tadi.

Soalan Tok Mat: Bagaimanakah masa depan UMNO, dalam segala perkembangan mutakhir ini?

Tok Mat jawab : Sejujurnya, saya tiada jawapan. Semuanya adalah sangat subjektif.

Tok Mat membuat kesimpulan bahawa UMNO hanya ada satu pilihan, iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

Begitulah UMNO pada masa kini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak seperti dulu. Seperti kata Tok Mat “UMNO, pada saat ini, berada pada kedudukan, paling susut dan kritikal, dalam perjalanan panjangnya,”

Justeru, seperti kata Tok Mat lagi, UMNO mesti melupakan nafsunya untuk berkuasa, dengan sebesar-besar kekuasaan. Masa itu sudah berlalu.

Ini kali kedua, selepas PRU, UMNO sama ada berkongsi kuasa atau menumpang kuasa. Kali pertama hilang kuasa pada PRU14 (2018). Daripada 79 kerusi dimenangi BN, 54 adalah milik UMNO.

Selepas 22 bulan diterajui Perdana Menteri (PM) Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Langkah Sheraton membuka laluan UMNO berkongsi kuasa dengan Bersatu dan Pas. Dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN). PM Muhyiddin Yassin (Bersatu),  kemudiannya Ismail Sabri Yaakob (UMNO).

Kali ini melalui PRU15, UMNO sekali lagi berkongsi kuasa, dengan membawa kerusi yang lebih kecil iaitu 30 kerusi di mana 26 daripadanya adalah UMNO.

Realitinya selepas PRU11 pada 2004, jumlah kerusi dimenangi BN mula menunjukkan kemerosotan, dengan memenangi 198 kerusi (190 UMNO), diikuti PRU12 (2008) 140 kerusi (79 UMNO) dan PRU13 (2013) 133 kerusi (88 UMNO).

Kata Tok Mat, UMNO hampir tenggelam, dan karam, dibadai taufan yang menggerunkan. Tewas dengan kekalahan, yang amat menginsafkan. Kekalahan yang membuka mata, menggegar minda, merenyuk sanubari.

Beliau mengakui PRU15, adalah titik hitam, yang akan selamanya, menghantui UMNO, tidak mungkin dilupakan, selagi hayat dikandung badan. Semua terpukul hebat, dengan penolakan secara besar-besaran, orang Melayu terhadap UMNO.

Baguslah UMNO mula sedar dan insaf. Mengakui sokongan yang semakin menipis dan mencipta rekod ‘kalah bersih’ yang memalukan di – Perlis, Kedah, Kelantan, Melaka, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor – tanpa satu pun kerusi Parlimen dimenangi..Wilayah Persekutuan dan Perak tinggal nyawa-nyawa ikan.

Mengakui pertempuran yang amat sukar tetapi Tok Mat tidak menyangka sama sekali bahawa, ia akan menjadi separah, dan seteruk ini.

Sasaran kemenangan tersasar jauh. Tok Mat menggariskan pelbagai faktor yang menyumbang kekalahan termasuklah ‘kempen agresif’ lawannya terutama PN.

Hakikatnya adakah BN atau UMNO bebar-benar bersedia menghadapi PRU?

Dalam kalangan pemimpin UMNO, ramai yakin dapat memenangi 112 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Benar angka itu mungkin satu ‘senjata’ bagi meyakinkan anggota parti untuk turun ‘bertempur’ tetapi pada masa sama menyebabkan ‘tentera’ yang turun berperang dalam keadaan selesa.

Adakah mengadakan PRU lebih awal seperti didesak mampu membantu BN memenangi banyak kerusi? Cukupkah sekadar mengukur kemenangan semasa pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN)?

Diharapkan PAU 2020 dapat mencari di mana silapnya UMNO sehingga orang Melayu sudah beralih sokongan kepada PN atau gelombang hijau. Lebih parah tidak semua 3.4 juta anggota UMNO menyokong calon parti mereka sendiri.

Adakah disebabkan terlalu selesa dengan kedudukan selama ini, UMNO nampak kurang bersedia menghadapi kejutan dalam kalangan ahlinya apabila calon pilihan akar umbi diketepikan, calon boleh menang digugur, calon boleh kalah dikekalkan.

Dengan menolak ketepi faktor luar seperti kempen agresif pihak lawan, UMNO perlu melihat kelemahan diri sendiri. Salahkan diri sendiri. Usah lagi tuding jari ke sana sini.

Dalam UMNO, ada saja label orang itu orang ini pengkhianat, gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam, api dalam sekam, musuh dalam selimut dan pelbagai lagi. Tidak kurang juga yang seperti enau dalam belukar dan sokong bawa rebah.

Justeru, muhasabahlah, dan akui kesilapan dan kekurangan!

Related posts

Leave a Comment