Singkir saki baki ‘gunting dalam lipatan’

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Pemuda UMNO mendesak supaya pemimpin yang melakukan khianat termasuk mencerca pucuk kepemimpinan supaya disingkirkan segera daripada parti, kata Ketua Pemudanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang menyifatkan pemimpin sedemikian ibarat ‘api dalam sekam’ dan ‘gunting dalam lipatan’, selama ini menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti.

Katanya, pemimpin sedemikian, hanya mengutamakan diri sendiri walaupun diberi peluang berkali-kali untuk menjadi calon mewakili parti ketika pilihan raya.

“Justeru Pemuda UMNO mendesak saki-baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’ dan mengutamakan diri sendiri disingkirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Terus Bangkit’ pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Asyraf Wajdi turut menegur tindakan segelintir pemimpin parti yang terbukti secara terbuka berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri.

Beliau yang tidak menamakan secara khusus mana-mana pemimpin, berkata, Pemuda UMNO menolak pemimpin terbabit yang mendakwa dirinya sebagai penyelamat dan mampu memulihkan parti.

“Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepemimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi.

“Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti…dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup, seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna dan paling hebat segala-galanya.

“Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepemimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti.

“Bagaimana rakyat nak mengundi BN jika kita sendiri berpecah-belah dan saling kata mengata?

“Bak kata peribahasa Inggeris – ‘a house divided against itself cannot stand’ (sebuah rumah yang berpecah-belah tidak dapat bertahan). Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah, 2022 kita kalah kerana berpecah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perwakilan bahawa Presiden UMNO adalah pusat graviti kepada parti yang bukannya melambangkan individu, tetapi sebuah institusi.

“Lemah institusi Presiden, lemahlah organisasi. Hancur institusi Presiden maka musnahlah kekuatan parti,” katanya.

Beliau mengingatkan strategi menyerang peribadi pemimpin, membunuh karakter pemimpin dan menghancurkan kredibiliti pemimpin adalah senjata paling ampuh bagi melemahkan dan menundukkan mana-mana organisasi.

“Buktinya jelas di hadapan kita. Daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hinggalah PRU-15 kedua-dua kepemimpinan tertinggi parti dibunuh kredibilitinya, dan diwajahkan dengan persepsi hodoh akibat pendakwaan politik terpilih dengan begitu dahsyat hingga mengakibatkan UMNO jatuh tersungkur.

“Malangnya kita sendiri yang merelakan segala kebobrokan yang berlaku. Pentas media sosial peribadi dibuka ruang untuk kepemimpinan sendiri dihina. Malah kita khayal dan seronok dengan gegak-gempita, sorak-sorai penonton tatkala memerli dan merendahkan parti sendiri,” katanya.

Pemuda UMNO juga menegaskan sudah tiba masa bagi parti melakukan perubahan radikal bukan sahaja dari segi orientasi tetapi juga gerak kerja jika mahu menjamin kemenangan parti pada pilihan raya pada masa depan.

Katanya, UMNO tidak boleh lagi berasa gah dengan jumlah lebih 3.4 juta ahli serta jaringan bahagian dan cawangan wujud di hampir setiap kampung dan desa.

“Jumlah ahli ramai sahaja tidak menjamin kemenangan dalam pilihan raya. UMNO tidak boleh lagi berasa bangga dengan kekuatan jentera parti masih menggunakan pendekatan tradisional.

“Musuh yang jauh lebih kecil jenteranya, mampu menewaskan kita dengan memanfaatkan teknologi komunikasi secara maksimum,” katanya

Related posts

Leave a Comment