Lembaga Disiplin BN pantau 10 Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR 12 Jan. –  Lembaga Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen daripada gabungan itu yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemantauan itu bertujuan untuk mengenal pastri sekiranya kumpulan 10 Ahli Parlimen terbabit terus menggerakkan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga sudah memaafkan mereka kerana perkara itu telah berlalu dan mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, percaya tindakan 10 Ahli Parlimen terbabit disebabkan situasi politik ketika itu yang tidak menentu.

“Tetapi saya yakin mereka akan bersama dengan UMNO dan BN serta mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya selepas merasmikan Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber pemimpin UMNO berkata, Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dikatakan dari Johor.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengajak perwakilan dan akar umbi untuk melakukan perubahan secara drastik terhadap parti dalam kadar segera.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, untuk melakukan perubahan tidak perlu dilakukan oleh pihak tertentu sekiranya ia boleh dilakukan secara bersama.

“Kita menyantuni perbezaan pendapat terutama dalam kalangan mereka yang berminat untuk bersama dengan kepemimpinan parti atau melakukan ‘reset’ (set semula) terhadap parti.

“Reset ini boleh dilakukan secara bersama dan tidak perlu melayani perbezaan yang akhirnya akan mewujudkan kabilah yang berbeza.

Saya mempunyai pendirian dan ketika ini lebih baik bersama-sama dalam melakukan perubahan secara drastik sekiranya ada, dengan kadar segera,” katanya.

Beliau mengulas satu poster memaparkan lapan pemimpin UMNO kononnya sebagai satu kumpulan yang bakal mencabar kepemimpinan Presiden pada pemilihan parti nanti.

Poster berkenaan antara lain menamakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Johari Ghani sebagai calon Presiden UMNO diikuti Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Presiden.

Related posts

Leave a Comment