Bangkit selepas rebah, bersih secara total

KUALA LUMPUR 11 Jan. –  Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu mampu bangkit selepas rebah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan berbekalkan semangat musyawarah dan keikhlasan.

Justeru, beliau mengajak ahli-ahli parti itu untuk bersama-sama membina semula gerakan parti, berbincang secara berjemaah dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan.

“Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita,” katanya menerusi catatan di Facebook, selepas Taklimat Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Melalui catatan itu, Timbalan Perdana Menteri terharu melihat ramai perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka bagi sesi Taklimat Presiden UMNO.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr Puad Zarkashi dalam catatannya berkata, pada majlis taklimat itu, Ahmad Zahid memberi jaminan akan melakukan pembersihan total supaya UMNO bersih daripada anasir baling batu sembunyi tangan.

“Mereka mendatangkan mudarat kepada UMNO. Mereka boleh jadi penghalang kejayaan hala tuju baru UMNO yang akan dibentangkan dalam ucapan dasar Presiden UMNO Jumaat ini,” kata Puad.

Taklimat Presiden secara tertutup selama dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022, bermula hari ini sehingga Sabtu.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati hadir ke perhimpunan kali ini, sementara 1,117 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita; 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Malam ini persidangan tiga sayap UMNO  dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Related posts

Leave a Comment