MRM tuhtut penjelasan DBKL

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Multiracial Reverted Muslims (MRM) memohon pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi penjelasan lanjut terhadap percanggahan fakta supaya tidak terus disalah tafsir oleh masyarakat.

Pengerusi MRM, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin, menjelaskan sejak awal, pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan kepastian daripada pihak DBKL berkaitan keperluan lesen.

Bagaimanapun, katanya, jawapan diberikan DBKL memaklumkan tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dan aktiviti dijalankan di ruang awam, bukan dalam premis perniagaan.

“Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian apabila barangan dakwah kami disita.

Sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan seperti didakwa, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang akan mengaku dan membayar kompaun sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

DBKL sebelum ini mengesahkan terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah oleh MRM di Jalan Bukit Bintang, berdepan Bangunan Yayasan Selangor, sehingga tindakan penguatkuasaan diambil.

Dalam kenyataan, DBKL berkata, khemah itu dipasang di atas laluan pejalan kaki yang juga kawasan awam dan perlu sentiasa bebas halangan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.

Muhammad Azim berkata, DBKL memaklumkan tindakan diambil atas alasan reruai menghalang laluan awam, namun berdasarkan rekod, lokasi digunakan adalah kawasan sama digunakan kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti dakwah tamat.

“Lokasi sama juga digunakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyanyi lagu ‘Dunia Indah Bersama’ bersama buskers dalam aktiviti turun padang Street Dakwah santai pada 30 Januari lalu.

“Jika benar lokasi itu dikategorikan menghalang laluan, maka garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak,” katanya.

MRM juga memandang serius kenyataan pihak DBKL menunggu 30 minit dan tiada wakil MRM tampil memberi kerjasama.

Beliau berkata, sukarelawan MRM berada di lokasi selepas selesai urusan ke tandas dan berlaku interaksi dengan pegawai DBKL dan wakil MRM yang sama dapat mengambil gambar petugas DBKL seramai 12 orang itu.

“Jikalau sukarelawan boleh mengambil gambar itu, sudah pasti dia juga tampil di lokasi berjumpa dan memberikan kerjasama. Jadi kenyataan itu tidak selari dengan fakta yang berlaku di lokasi.

“Apa pun, MRM menghormati dan mendaulatkan undang-undang, tidak memanipulasi isu menjadi polemik perkauman atau agama, namun berhak mempertahankan integriti organisasi,” katanya.

Muhammad Azim betrkata, MRM kekal komited bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa demi memastikan aktiviti dijalankan secara tertib dan mematuhi garis panduan.

“Jadi penjelasan DBKL penting untuk mengesahkan aktiviti Street Dakwah boleh diteruskan seperti sebelum ini.

“Kehadiran kami di ruang awam bukan sekadar aktiviti dalaman organisasi, tetapi menjadi ruang interaksi terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang, Muslim dan bukan Muslim, tempatan dan pelancong melalui pendekatan dialog terbuka,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment