Purata kes Covid-19 di Brunei 350 sehari

BERAKAS 10 Jan. –  Kadar purata kes Covid-19 di Brunei Darussalam dalam masa satu minggu kebelakangan ini menunjukkan peningkatan iaitu 350 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya 227 kes sehari.

Menteri Kesihatan, Dr. Mohammad Isham Jaafar berkata, sebanyak 297 kes baharu dilaporkan semalam, Isnin iaitu 293 kes hasil Ujian Pantas Antigen (ART) dan empat kes hasil daripada 230 Ujian Makmal RT-PCR dalam tempoh 24 jam.

Bercakap pada sidang media mengenai norma baharu Covid-19, beliau memberitahu sebanyak 36,627 keputusan ART dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 6.6 peratus daripadanya adalah keputusan ART yang positif.

Katanya, sebanyak tiga kes dicatatkan berada di dalam Kategori 4 iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi dan tiada kes di dalam Kategori 5 iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Mengenai vaksinasi, sehingga Ahad (8 Januari 2023), kadar liputan vaksinasi Covid-19 di Negara Brunei Darussalam kekal di tahap yang tinggi dengan 79 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11 peratus mendapatkan dos keempat.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan sentiasa memantau varian-varian baharu Covid-19 yang boleh memudaratkan atau sebaliknya.

Menurut Dr Mohammad Isham, setakat ini varian baharu tidak ada yang menjejaskan atau boleh memudaratkan sistem kesihatan dengan syarat penduduk sesuatu tempat itu mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi.

Beliau juga menasihatkan individu yang dijangkiti Covid-19 membuat pengasingan diri, memakai pelitup muka jika mempunyai demam selesema agar dapat mengawal keadaan penularan serta mengekalkan Kategori 4 dan 5 di tahap yang rendah. 

Related posts

Leave a Comment