BN sokong bentuk Kerajaan Perpaduan Sabah

KOTA KINABALU 10 Jan. –  Barisan Nasional (BN) Sabah menyokong penuh cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan yang melibatkan seluruh parti politik di negeri ini.

Pengerusi BN, Bung Moktar Radin berkata, beliau yakin dan percaya melalui Kerajaan Perpaduan ini, ia mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik Negeri Sabah ketika ini.

“Saya juga berharap agar Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO berkata demikian dalam satu kenyataan di media sosial awal pagi ini, sejurus selepas Anwar mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti politik Sabah malam tadi.

Pertemuan itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kemelut politik Sabah berikutan UMNO menarik balik sokongan terhadap Hajiji yang sebelum itu keluar dari Bersatu.

Anwar selepas pertemuan itu berkata, rundingan semakin baik tetapi pihaknya hanya mampu menasihat dan menyerahkan kepada pimpinan Sabah untuk membuat keputusan berhubung kemelut itu.

Berhubung dengan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 hari ini, Bung Moktar berkata, sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“Walaubagaimanapun, saya bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas itu,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri malam tadi menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus memimpin Sabah.

“Kita beri peluang kepada Ketua Menteri untuk berbincang dan mencari formula yang baik untuk kebaikan Sabah,” katanya kepada media sebelum beredar dari kediaman rasmi Ketua Menteri tengah malam tadi untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Anwar juga berterima kasih kepada Hajiji dan rakan-rakan atas semua pandangan mereka yang dikemukakan kepada beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid.

Beliau juga berkata, rang undang-undang yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Khas hari ini (10 Jan) adalah sangat penting dan akan membawa perubahan besar kepada Sabah.

Semasa di Sri Gaya, Anwar dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan 44 ADUN yang menyokong Hajiji selama kira-kira setengah jam.

Turut hadir ialah Ahli-ahli Parlimen GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Related posts

Leave a Comment