SEPANG 14 Julai – Matlamat Pas jelas, menewaskan parti lawan dan tidak akan sesekali mengambil tindakan yang akhirnya merugikan parti sendiri, kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
“Ada yang kata Pas selalu tukar tiang gol. Hakikatnya Pas tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan dan tidak akan sama sekali jaringkan gol sendiri.
“Dalam proses jaringkan gol itulah strategi. Pemain bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat sebagai membalas kenyataan Presiden Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Pas sering menukar pendirian dan sasaran demi kepentingan parti itu.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan tiada sebarang perjanjian dengan Pas berkait Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan kali ini, kecuali persefahaman sesama parti saja.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengesahkan UMNO tidak pernah memuktamadkan perbincangan dengan Pas termasuk mengenai kerusi bakal ditandingi pada pilihan raya berkenaan.
Beliau menyifatkan, keterangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengenai wujudnya kerjasama antara BN dan Pas, sebagai kenyataan politik semata-mata.
“Jadi, janganlah positif sangat dengan mereka ini tetapi kita cuma boleh bersangka baik saja. Mereka ini boleh tukar goalpost (sasaran) bila-bila masa. Jadi, saya menganggap itu sebagai satu kenyataan politik saja,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Fadhli berkata, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat jaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan.
“Pasukan PAS tidak akan bergabung dengan pasukan lawan jaringkan gol sendiri. Liga berikutnya di Negeri Sembilan akan menyaksikan Pas mengotakan janji ini,” katanya.
Nnnn
