Putra kutuk pihak ugut badan kehakiman

SEPANG 9 Jan. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengutuk tindakan pihak tertentu yang menakut-nakutkan badan kehakiman dalam kes politik yang dibicarakan tahun lepas termasuk ugutan terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam satu kenyataan, Putra menyifatkan golongan ini sebagai perosak kebebasan badan kehakiman dan mempunyai nilai moral yang rendah kerana membuat tekanan lebih kepada kepentingan mereka dan tidak mengendahkan kepentingan awam.

Justeru Putra meminta hakim-hakim tidak perlu bimbang dan rasa takut kerana majoriti rakyat Malaysia turut bersama mereka dan Badan Kehakiman yang menjadi salah satu dari cabang institusi sistem Raja Berperlembagaan.

Putra membuat kenyataan itu melalui Ketua Penerangan Shahrulufti Sharif dan Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Kedua-dua kenyataan itu susulan pendedahan Tengku Maimun yang menerima ancaman bunuh terhadapnya dan tindakan menakut-nakutkan Badan Kehakiman dalam kes membabitkan tokoh politik.

Tengku Maimun mendedahkan, cubaan menakut-nakutkan dan memberi tekanan kepada hakim yang mendengar kes berkepentingan awam menjadi semakin ketara sekitar tahun lalu.

Malah, katanya komen-komen yang diberikan kepada kehakiman juga agak keterlaluan dan berat sebelah, selain tidak objektif dan berbaur politik.

Shahrulufti dalam kenyataannya menegaskan, Putra sedia ‘bertempur’ dalam apa bentuk keadaan dengan pihak yang cuba menggugat badan kehakiman.

“Putra sentiasa berwaspada dengan apa saja kemungkinan demi melindungi badan kehakiman supaya dapat melaksanakan tugas dgn penuh berintegriti, bebas,tegas dan menjunjung *rule of law* tanpa takut pada mana-mana pihak.

“Ini bagi membolehkan Badan Kehakiman mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat tanpa ragu ragu dan prejudis,” katanya.

Beliau mengingatkan, negara boleh huru hara dan mengundang pemberotakan rakyat jika ‘rule of law’ atau pelaksanaan undang-undang tidak dilakukan dengan adil dan telus.

Sementara itu, Nasrul Ali Hasan berkata, badan kehakiman adalah satu badan yang menjulang kedaulatan undang-undang dan segala yang diputus atau hukuman yang dijatuhkan pastinya berdasarkan fakta dan pembuktian yang telah diteliti.

Justeru, Wira Putra mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menakut-nakutkan atau cuba menggugat badan kehakiman.

“Hakim-hakim yang ditugaskan adalah dari kalangan yang bijak dan mahir dalam bidang perundangan maka tidak perlu bimbang dan rasa takut dengan sebarang ugutan atau apa jua cubaan menakut-nakutkan mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment