Rujuk perlembagaan bukan mahkamah

KOTA KINABALU 9 Jan. – Status keabsahan Ketua Menteri Sabah,  Hajiji Noor, tidak perlu dibawa ke mahkamah kerana semua fakta jelas dinyatakan dan termaktub dalam undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Mohd Shafie Apdal, berkata tiada keperluan untuk membawa perkara terbabit ke mahkamah atau membentangkan usul undi percaya berhubung keabsahan Hajiji dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ketika saya menjadi Ketua Menteri, kita bawa usul undi percaya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, saya peroleh dua pertiga (undi percaya) sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Kemudian, datang pihak lain, ‘beli’ orang (ADUN) saya, jadi saya terpaksa bubar DUN,” katanya selepas menerima kunjungan Duta Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya hari ini.

Semalam, Hajiji dilaporkan berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan status kedudukannya sebagai Ketua Menteri boleh membawa perkara terbabit ke mahkamah

Mengenai dakwaan Hajiji memiliki sokongan 44 ADUN bagi mengekalkannya sebagai Ketua Menteri, Mohd Shafie berkata, majoriti atau bilangan akuan bersumpah (SD) tidak penting.

“Dia (Hajij) ada nombor, kita juga ada nombor. Tidak perlu bercakap mengenai nombor atau SD kerana apa yang penting ialah pematuhan terhadap undang-undang.

“Saya bukan mahu jadi Ketua Menteri, gilakan jawatan. Dari dulu saya sudah ditawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi bukan itu yang menjadi tuntutan.

“Kita mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dan penting untuk kita menterjemahnya.

“Justeru, saya melihat penting bagi kita melihat dari sudut undang-undang Anti Larangan Bertukar Parti yang sudah dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Di Sabah, undang-undang itu belum dibentang dan dilaksanakan, maka kalau kita menerima perlakuan (lompat parti) dan menghalalkannya, apakah ia selaras dengan peruntukan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment