Pemukiman Jemaah Menteri tetapkan KPI

JAKARTA 9 Jan. – Satu program permukiman akan diadakan, minggu depan yang membabitkan Jemaah Menteri bagi menetapkan indeks prestasi utama (KPI) setiap kementerian, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, program itu bertujuan mendapatkan input daripada menteri selepas lebih sebulan memikul tanggungjawab, dan mengemukakan perkara yang boleh dilakukan atau diperbaiki.

“Sejurus itu, kita akan membuat pengumuman mengenai prestasi dan KPI serta mengemukakan sasaran selanjutnya daripada setiap menteri,” katanya pada sesi soal jawab sempena Majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, di sini, malam tadi.

Dalam catatan Facebooknya, Perdana Menteri menegaskan Malaysia mesti bebas dari gejala ketamakan elit penguasa dan para petinggi politik dalam memunggah dan menggondol kekayaan dan khazanah negara demi tembolok sendiri.

“Saya tidak akan berkompromi dalam soal ini meski ia mungkin akan merisikokan kedudukan saya.

“Kita sudah lelah dengan watak-watak yang menjerit perjuangkan Islam tetapi mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan dan menggunakan kuasa untuk merampas hak yang bukan milik mereka,” katanya.

Anwar berkata, adalah menjadi hasratnya untuk memartabatkan golongan miskin tidak kira bangsa atau agama sambil memperteguh hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, walaupun kebimbangan utama saat ini adalah terkait pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan kepada semua, tetapi mustahil untuk memberi tumpuan kepada aspek itu selagi rasuah terus menghantui koridor kuasa.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar,  Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku  Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Related posts

Leave a Comment