Kes harian Covid-19 turun di bawah 500

PUTRAJAYA 9 Jan. – Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini mencatatkan sedikit penurunan dengan merekodkan 405 kes termasuk lapan kes import berbanding 567 kes tempatan dan empat kes import yang dilaporkan kelmarin.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan, jumlah keseluruhan kes setakat ini adalah 5,030,313 iaitu 4,991,752 kes tempatan dan 38,561 kes import.

Setakat tengah malam tadi, terdapat satu kematian dicatatkan dengan jumlah keseluruhan  36,875 meninggal dunia termasuk 7,857 kematian luar hospital (BID).

Kes aktif pula berkurangan 37 kes dengan 11,394 di mana 10,763 atau 94.5 peratus menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC).

Jumlah pesakit di hospital meningkat kepada 599 orang berbanding 585 pesakit kelmarin dan daripada jumlah itu, 32 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 12 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut KKMNOW lagi, kadar penggunaan fasiliti kesihatan adalah katil ICU berada pada paras 67.3 peratus, katil hospital 72.8 peratus dan alat bantuan pernafasan 40.4 peratus.

Sebanyak 441 kes pula dilaporkan sudah sembuh menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,982,044 orang.

Related posts

Leave a Comment