Shamsul letak jawatan Setpol Kanan PM

PUTRAJAYA 25 Nov.  – Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi hantaran ringkas di platform X hari ini dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas difahamkan terdapat percubaan untuk menyerangnya yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.

“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.

“Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.

Bekas Ketua Penerangan PKR itu dilantik sebagai setiausaha politik kanan pada Disember 2022.

Shamsul sebelum ini terpalit dengan kontroversi pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital, di bawah Kementerian Kesihatan.

Susulan itu, bekas Menteri Ekonomi,  Rafizi Ramli mendesak Anwar memecat Shamsul, bukannya sekadar memberi amaran.

Bagaimanapun Anwar mempertahankan keputusannya tidak memecat Shamsul kerana sebarang tindakan perlu berasaskan keseriusan kesalahannya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment