Malaysia,Indonesia selesai isu tertangguh

JAKARTA 9 Jan. – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Jokowi, sepakat mengukuhkan hubungan dua hala dan menyelesaikan beberapa isu membabitkan kedua-dua negara yang masih tertangguh ketika pertemuan di Istana Bogor hari ini.

Dalam pernyataan bersama dua pemimpin selepas pertemuan di Istana Bogor hari ini, Perdana Menteri dan Jokowi, setuju pelbagai perbincangan yang belum diputuskan, diselesaikan segera dan perjanjian ditandatangani tahun ini.

Ia merangkumi isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI), penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan.

Anwar melahirkan rasa gembira dan terharu kerana mereka dapat berbincang secara terbuka dan berlapang dada mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi keutamaan kepada Malaysia dan Indonesia.

Menurut Anwar, Malaysia tidak mahu isu berkenaan terus berpanjangan yang menjejaskan usaha dua negara untuk mencapai kesepakatan demi kepentingan rakyat dan kedua-duan negara.

Katanya, sudah banyak mesyuarat dan rundingan diadakan, namun masih banyak yang belum diselesaikan dan Malaysia berharap ia dapat diputuskan dengan perjanjian.

Anwar telah memaklumkan kepada Jokowi Malaysia sentiasa menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.

Beliau memberi jaminan kepada Jokowi , bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

Kedua-dua pemimpin telah berbincang dan mengambil maklum berhubung kemajuan dalam rundingan pembatasan sempadan darat dan maritim di antara kedua-dua negara.

Mengenai kerjasama ekonomi, Anwar telah usulkan kepada Jokowi supaya pelabur Indonesia terus meningkatkan pelaburan di Malaysia dan mengalu-alukan penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) sektor swasta Malaysia dan Indonesia yang dimeterai ketika lawatan ini dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

Anwar juga telah menyatakan minat mendalam Malaysia untuk turut serta dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.

(FOTO FB Jokowi)

Related posts

Leave a Comment