Hadi dakwa negeri ditadbir Pas ‘disusahkan’

SEPANG 9 Jan. – Pas mendakwa negeri-negeri di bawah pentadbirannya ‘disusahkan’ dengan berbagai-bagai cara, halangan dan penentangan sama ada secara nyata ataupun tersembunyi.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi diamalkan di negara Barat yang menjadi rujukan mereka (kerajaan Persekutuan).

“Apabila Pas hanya berkuasa di peringkat negeri sahaja mengikut konsep federalisme, walaupun dengan kuasa yang sangat terbatas, namun negeri-negeri itu tetap disusahkan dengan berbagai-bagai cara,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian menerusi Minda Presiden, di Facebook rasminya, hari ini.

Dalam catatan bertajuk “Islam dilarang bernegara” itu, Abdul Hadi berkata, tidak menghairankan apabila berlaku penubuhan kerajaan di luar tabii demokrasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun Pas memperoleh kerusi terbesar.

Katanya, Pas sudah berusaha bersama dalam PN yang disertai pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa Pas menjadi pemimpin utama.

Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tidak hairan dengan tindakan parti politik yang menentang Islam seperti DAP yang kini bertukar nada dengan tidak bersuara secara terang-terangan.

Menurutnya, ini kerana parti itu kini berjaya mengadakan pasukan baharu daripada kalangan rakan berwajah Islam yang berwalikannya.

“Mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara seperti melaksanakan amar ma’ruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata,” katanya.

Tambahnya, secara nyata mereka juga bergabung dengan semua kumpulan liberal dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

“Semuanya demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran yang salah oleh mereka yang buta al-Quran.

“Gabungan itu turut diikut serta oleh kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah berskala besar, termasuklah kesalahan-kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan,” katanya.

Melalui tulisannya itu juga, Abdul Hadi menarik perhatian bagaimana tamadun Barat sedang menunjukkan tanda-tanda membakar diri kerana mereka mengambil tamadun Islam dari sudut kemajuan sahaja tanpa Islamnya.

Katanya, sikap permusuhan terhadap Islam terus membara sejak zaman awal sehingga zaman penjajahan dan ia berterusan sehingga kini.

“Sikap permusuhan terhadap Islam bukan kerana mencari kebenaran dan menegakkan keadilan, tetapi disebabkan hasad dengki sehingga timbulnya fanatik perkauman yang mencipta berbagai-bagai ideologi bersama fanatik nasionalisme, cauvinisme, sama ada kiri atau kanan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment